Berita Harian

Tiga ditahan kes pasang Jalur Gemilang terbalik

-

Johor Bahru: Pengurus dan tiga kakitangan sebuah kilang di Kawasan Perindustr­ian Tebrau, ditahan petang kelmarin, selepas Jalur Gemilang yang dipasang di premis mereka didapati dipasang secara terbalik.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay, berkata mereka yang ditahan ialah pengurus kilang berkenaan, pegawai sumber manusia, kerani logistik dan individu warga Bangladesh berusia 23 hingga 56 tahun yang ditugaskan dalam pemasangan bendera.

Katanya, mereka ditahan selepas sepasukan polis dari Balai Polis Bandar Dato’ Onn melakukan pemeriksaa­n di kilang yang sudah beroperasi selama lapan tahun itu, kira-kira jam 2 petang, hasil aduan orang awam.

“Semua suspek disiasat mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

“Suspek turut disiasat mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 yang jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM100.

“Polis Johor tidak akan terima sebarang alasan dan yang kita tahan bukan hanya yang memasangny­a tetapi pemilik premis sekali,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, semalam.

Ayob Khan berkata, alasan yang biasa diberi dalam pemasangan bendera secara terbalik itu ialah yang memasangny­a adalah warga asing.

“Sebagai rakyat Malaysia sepatutnya mereka prihatin dan betul-betul memeriksa (pemasangan bendera). Habis apa peranan pemilik kilang itu?” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia