Berita Harian

Mohon Rantau Panjang dijadikan jajahan baharu

-

Kota Bharu: Kerajaan Kelantan akan menjadikan Rantau Panjang sebagai jajahan baharu dalam usaha menaik taraf kawasan itu, sekali gus mampu menarik pelancong.

Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah, berkata sebelum ini permohonan untuk menjadikan Rantau Panjang sebagai jajahan baharu sudah dibuat, namun ditolak.

“Kerajaan negeri sedang berusaha menjadikan Rantau Panjang sebagai jajahan baharu. Kalau tidak boleh penuh pun, sekiranya jadi jajahan kecil seperti Lojing pun sudah okey.

“Sekarang, Rantau Panjang berada di bawah jajahan Pasir Mas. Rantau Panjang sudah boleh dipisahkan kerana pekan berkenaan sudah maju, selain menjadi tumpuan pelancong.

“Kita akan buat permohonan sekali lagi,” katanya ketika menjawab soalan tambahan dikemukaka­n Abd Rahman Yunus (Pas-pasir Tumboh) pada Persidanga­n Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan, semalam.

Mengulas lanjut, Mohd Amar (Pas-panchor) turut meminta peniaga di Rantau Panjang supaya mempelbaga­ikan jenis barangan yang dijual bagi menarik lebih ramai pelancong.

“Mereka tidak boleh mengharapk­an barangan dari Thailand atau Kemboja sahaja.

“Mungkin boleh berniaga barang berjenama, sekali gus mampu menarik lebih ramai pelancong.

“Sekarang mereka yang mahu ke Rantau Panjang hanya kerana mahu membeli barang murah,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia