Berita Harian

Raja Airan tak lemah semangat pertahan perniagaan

-

Johor Bharu: Diduga ujian demi ujian tidak melemahkan semangat seorang usahawan wanita, di sini, terus berjuang memastikan perniagaan yang dibina sejak 12 tahun lalu terus bertahan.

Kebakaran yang memusnahka­n kediamanny­a, Disember lalu selain diduga wabak COVID-19 menyebabka­n butik pakaiannya terpaksa ditutup selama hampir dua bulan tidak melemahkan semangatny­a untuk terus bangkit.

Raja Airan Raja Ismail, 56, yang mengusahak­an Butik Anggun Qaseh, di sebuah pusat beli-belah terkenal di Tampoi, di sini, bersyukur mula menemui sinar baharu selepas dugaan dihadapiny­a itu hampir melumpuhka­n semangatny­a untuk berjuang.

Beliau yang pada mulanya menganggap akan mengalami kerugian besar dan menutup butik pakaiannya itu, akhirnya menemui hikmah di sebalik ujian yang melanda, apabila pakaian yang dijual di butiknya mendapat sambutan menjelang Aidilfitri lalu.

“Saya sebenarnya sudah putus harapan selepas kediaman hasil titik peluh berniaga terbakar dan musnah hujung tahun lalu kerana lintas pintas sehingga semua wang simpanan hampir habis digunakan bagi membina semula rumah tempat berteduh saya dan anak saudara.

“Bagai jatuh ditimpa tangga, baru memulih semangat yang hilang, diduga pula dengan wabak COVID-19 menyebabka­n butik terpaksa ditutup hampir dua bulan menyebabka­n saya hilang punca pendapatan.

“Saya reda dengan ujian Tuhan, apatah lagi sudah menempah stok pakaian Aidilfitri yang banyak dan saya tidak boleh terus lemah demi masa depan saya, pekerja serta anak saudara yang saya asuh sejak kecil,” katanya.

Raja Airan yang masih bujang itu berkata, walaupun diuji dugaan demi dugaan beliau tidak memberhent­ikan empat pekerjanya yang setia, namun memohon pengertian dengan membayar separuh daripada gaji yang diterima mereka sepanjang butiknya ditutup.

“Saya harus tangkas memikirkan strategi baharu bagi membolehka­n stok pakaian Aidilfitri yang sudah ditempah terjual dan memutuskan untuk menjual semua pakaian dengan harga antara 40 hingga 60 peratus lebih rendah daripada pasaran iaitu antara RM69 hingga RM200.

“Alhamdulil­ah, ia berhasil apabila sejak dibuka 4 Mei lalu, pelanggan memberi sambutan terhadap pakaian dijual kerana harganya lebih rendah berbanding nilai pasaran. Biarlah untung sedikit, namun ia rezeki untuk saya dan pekerja,” katanya.

Beliau bersyukur kerana akhirnya menemui hikmah ujian yang dihadapiny­a itu apabila perniagaan­nya kini dapat terus dipertahan­kan walaupun pernah terlintas untuk menutupnya.

“Saya juga akan meneruskan jualan pakaian dengan harga lebih rendah selain berjinak mendigital­kan perniagaan bagi meluaskan pasaran pakaian dijual,” katanya.

 ?? (Foto Mohd Azren Jamaludin/bh) ?? Raja Airan menunjukka­n baju kurung Riau yang dijual di butiknya di Johor Bahru.
(Foto Mohd Azren Jamaludin/bh) Raja Airan menunjukka­n baju kurung Riau yang dijual di butiknya di Johor Bahru.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia