Berita Harian

Facebook gagal kongsi ‘bukti’ jenayah Myanmar

-

Geneva: Ketua badan penyiasat Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) untuk Myanmar mendakwa Facebook tidak berkongsi bukti 'jenayah antarabang­sa serius' termasuk terhadap etnik Rohingya di negara itu.

Ketua Siasatan Mekanisme Bebas Antarabang­sa untuk Myanmar (IIMM), Nicholas Koumjian, berkata Facebook mempunyai bahan 'sangat relevan dan boleh disiasat’ berhubung jenayah itu, tetapi tidak berkongsi ketika perbincang­an sepanjang tahun.

Beliau juga kesal dengan keengganan Facebook itu walaupun sudah berjanji akan bekerjasam­a dengan penyiasat bagi mengenal pasti sebarang salah guna kuasa di Myanmar.

Myanmar berdepan tuduhan pembunuhan beramai-ramai di Mahkamah Keadilan Antarabang­sa (ICJ) berhubung tindakan tentera terhadap etnik Rohingya pada 2017, yang memaksa lebih daripada 730,000 orang melarikan diri ke Bangladesh.

Myanmar menafikan dakwaan itu dan menjelaska­n angkatan tenteranya melakukan operasi sah terhadap penentang bersenjata yang menyerang pondok polis.

Penyiasat PBB berkata, Facebook berperanan penting dalam menyebarka­n ucapan kebencian ketika krisis itu, yang seterusnya mengundang keganasan.

Laman sosial itu berkata, mereka berusaha menghentik­an ucapan kebencian dan sudah menghapus akaun dikaitkan dengan tentera, tetapi masih menyimpan data berkaitan.

Koumjian berkata, Majlis Hak Asasi Manusia PBB menubuhkan IIMM pada 2018 bagi mengumpulk­an bukti jenayah antarabang­sa di Myanmar untuk digunakan dalam pendakwaan akan datang.

“Sehingga kini, IIMM masih belum menerima apa-apa bahan daripada Facebook, tetapi perbincang­an masih dijalankan dan berharap akan menerima bukti penting ini nanti,” katanya.

Ia susulan tindakan Facebook minggu lalu bagi menyekat usaha Gambia, yang membawa kes pembunuhan beramai-ramai terhadap Myanmar ke ICJ, bagi mendapatka­n pos dan komunikasi antara anggota tentera serta polis Myanmar.

Facebook menggesa Mahkamah Daerah Columbia di Amerika Syarikat (AS) supaya menolak permintaan itu, yang dikatakan melanggar undang-undang AS melarang pendedahan perkhidmat­an komunikasi elektronik pengguna.

Facebook dalam kenyataann­ya minggu lalu, berkata pihaknya tidak dapat memenuhi permintaan Gambia tetapi akan bekerjasam­a dengan IIMM.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia