Berita Harian

Semangat Hafizh kian membara

- Oleh Sukhairi Thani sukhairi@bh.com.my

Pelumba negara harap pecut lebih laju di Austria

Kuala Lumpur: Hafizh Syahrin Abdullah mahu meneruskan rentak cemerlang di Litar Red Bull Ring-spielberg yang menjadi venue bagi dua perlumbaan musim 2020 bermula dengan Grand Prix (GP) Austria, minggu ini.

Pelumba Moto2 pasukan Openbank Aspar Team itu sudah meraih dua keputusan dalam kelompok 10 terbaik daripada empat pusingan awal musim ini, penamat keenam di GP Sepanyol dan kesembilan di GP Republik Czech, minggu lalu.

Justeru, pelumba berusia 26 tahun itu berharap dapat melakukan yang terbaik di Austria dengan rekod kali terakhirny­a beraksi dalam kelas berkenaan berada di tempat ke-10 pada 2017.

“Di Austria, saya harap dapat memecut lebih laju lagi, menjadi lebih kuat dan kompetitif dari awal saingan,” kata Hafizh yang ketika ini sudah mengumpul 17 mata untuk berada di tangga ke-14 keseluruha­n dalam carta Moto2.

“Saya sangat menyukai litar ini. Pada 2017 - tahun terakhir beraksi dalam kelas Moto2 saya menamatkan perlumbaan dengan baik dan kini saya mahu memulakan perlumbaan dengan konsisten ketika dua minggu di Red Bull Ring.”

Selepas GP Austria, Litar Red Bull Ring-spielberg sekali lagi akan menjadi venue bagi GP Styria untuk pusingan keenam musim pada 23 Ogos ini sebelum saingan beralih ke GP San Marino, 13 September.

Pelumba Italtrans Racing Team, Enea Bastianini ketika ini mendahului carta kelas pertengaha­n itu dengan 73 mata manakala Luca Marini (SKY Racing Team VR46) berada di tangga kedua dengan perbezaan 15 mata.

Berada di kedudukan ketiga adalah Tetsuta Nagashima (Red Bull KTM Ajo) dengan 55 mata.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia