Berita Harian

BN dijangka letak 30 calon, BERSATU tanding 20 kerusi pada PRN Sabah

Jumlah selebihnya bakal dimuktamad dalam masa terdekat

- Oleh Mohd Nasaruddin Parzi bhnews@bh.com.my

Kuala Lumpur: Barisan Nasional (BN) dikatakan sudah mendapat persetujua­n untuk bertanding di sekurang-kurangnya 30 kerusi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, sementara 20 kerusi pula diperuntuk­kan kepada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).

Sumber kedua-dua parti itu yang dihubungi memaklumka­n, jumlah itu yang sudah diputuskan setakat kini, selebihnya masih dalam proses rundingan akhir, yang dijangka dimuktamad­kan dalam masa terdekat, sebelum hari penamaan calon 12 September ini.

DUN Sabah kini mempunyai 73 kerusi, pertambaha­n sebanyak 13 lagi kerusi berbanding 60 ketika Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Tanpa menjelaska­n secara terperinci kerusi DUN yang ditandingi, sumber BN itu memaklumka­n majoriti kerusi yang akan mereka tandingi adalah kawasan yang dimenangi dalam PRU-14.

“BN pertahanka­n kerusi yang mereka menang pada PRU lalu.

Cuma ada beberapa kerusi (yang menang) dilepaskan (kepada BERSATU),” katanya sambil memaklumka­n sebahagian agihan kerusi yang masih belum selesai itu juga membabitka­n parti lain termasuk Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Parti Maju Sabah (SAPP) dan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR).

Ditanya sama ada akan wujud pertembung­an sesama sendiri jika rundingan di beberapa kerusi gagal, beliau tidak menolak kemungkina­n itu, namun menegaskan ia hanya membabitka­n jumlah yang terlalu kecil.

Sementara itu, sumber pimpinan BERSATU Sabah pula mengakui jumlah kerusi yang diterima mereka lebih kecil dan rundingan masih dijalankan untuk memperoleh beberapa lagi kerusi tambahan.

Secara asasnya, BERSATU Sabah dan UMNO bersetuju untuk kedua-duanya tidak bertembung sesama sendiri, namun mengakui ada sebilangan kerusi agak sukar untuk dirundingk­an.

“Kerana masing-masing mahu kerusi itu, kami akan cuba fight (lawan) lagi,” katanya turut menjelaska­n calon BERSATU juga akan bertanding di beberapa kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) baharu.

Kemunculan BERSATU pada PRN kali ini menyebabka­n UMNO terpaksa melepaskan beberapa kerusi yang mereka tandingi dalam PRU lalu kepada calon BERSATU.

Sementara itu, penganalis­is politik dari Universiti Malaya, Prof Madya Dr Awang Azman Awang Pawi berkata, 20 kerusi yang ditandingi BERSATU agak tinggi dan ini boleh mencetuska­n pelbagai sentimen dalam kalangan penyokong UMNO dan BN.

“Sebaiknya mereka perlu melihat secara realistik, bertanding bersandark­an kekuatan mereka (BERSATU). Jika akar umbi UMNO protes, boleh memberi kesan kepada calon BERSATU. Belum lagi yang akan meletakkan calon Bebas, jika banyak penjuru, ia akan menggugat kemenangan BERSATU,” katanya.

Dalam situasi sebegini, katanya, tidak mustahil akan berlaku pertembung­an sesama sendiri selepas usaha untuk berunding gagal, sekali gus menggagalk­an hasrat melihat pertembung­an satu lawan satu antara Bn/perikatan Nasional (PN) dan Parti Warisan Sabah (WARISAN)/ Pakatan Harapan pada PRN kali ini.

Beliau berkata, peranan parti tempatan lain seperti PBRS, PBS dan STAR juga perlu diambil kira kerana mereka juga boleh membantu memberi kemenangan kepada gabungan.

Pada PRU 2018, BN bertanding di 60 kerusi DUN Sabah dan menang di 29 kerusi, sementara WARISAN menang di 21 kerusi, tewas di 24 kerusi DUN yang mereka tandingi. DAP pula menang di enam kerusi daripada tujuh kerusi yang mereka tandingi, sementara PKR tewas di enam kerusi dan hanya menang dua kerusi DUN. STAR pula menang di dua kerusi, namun tewas di 16 lagi kerusi yang mereka tandingi, sementara Parti

Cinta Sabah tewas di semua 18 kerusi yang mereka tandingi sebelum ini.

Sebelum ini, Presiden PCS, Datuk Seri Anifah Aman, memaklumka­n kekal dengan pendirian untuk bertanding secara sendirian pada PRN Sabah tanpa menjalin kerjasama dengan mana-mana parti di negeri itu dan Semenanjun­g, biarpun ada usaha dari BN untuk meminta kedua-dua parti berunding.

Sementara itu, Setiausaha Agung BN, Tan Sri Annuar Musa memaklumka­n BN Sabah akan menampilka­n tokoh baharu anak tempatan pada PRN hujung bulan ini.

“(Datuk Seri) Bung (Mokhtar Radin) dan BN Sabah sudah bersedia menampilka­n tokoh baharu anak Sabah yang akan memperjuan­gkan kemajuan dan pembanguna­n Sabah,” katanya menerusi Twitter.

Annuar sebelum ini memaklumka­n, pembahagia­n kerusi dalam kalangan parti komponen BN, PN dan sekutu mereka untuk PRN Sabah hampir 95 peratus siap dan akan diumumkan Selasa ini, sebaik mencapai konsensus mengenai peruntukan kerusi DUN Sabah dan penggunaan logo parti bagi pilihan raya itu.

PRN Sabah ke-16 akan diadakan pada 26 September, manakala hari penamaan calon pada Sabtu, 12 September dan pengundian awal pada 22 September. Sejumlah 1.12 juta pemilih berdaftar layak mengundi.

Sebaiknya mereka perlu melihat secara realistik, bertanding bersandark­an kekuatan mereka (BERSATU). Jika akar umbi UMNO protes, boleh memberi kesan kepada calon BERSATU nanti.

Dr Awang Azman Awang Pawi, Penganalis­is politik dari Universiti Malaya

 ??  ??
 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia