Berita Harian

Perlu tambah satu klausa dalam akta bagi tuntutan ganti rugi

-

Kuala Lumpur: Satu klausa perlu ditambah dalam Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 bagi membolehka­n tuntutan ganti rugi dibuat terhadap pesalah kes pencemaran alam sekitar, termasuk sumber air tanpa perlu melalui proses di mahkamah.

Cadangan Persatuan Penyelidik­an Air dan Tenaga Malaysia (AWER) itu bertujuan melindungi dan membela kepentinga­n banyak sektor termasuk pengguna domestik yang terjejas akibat gangguan bekalan air.

Presiden AWER, S Piapakaran, berkata usul berkenaan dicadangka­n sejak 10 tahun lalu, namun sehingga kini masih belum dilaksanak­an.

“Pindaan akta ini perlu dilakukan dengan memasukkan klausa ‘Jabatan Alam Sekitar boleh menuntut bagi pihak yang mengalami kerugian akibat pesalah yang melakukan pencemaran melalui peraturan dan kaedah yang diluluskan'.

“Melalui klausa ini, banyak sektor terjejas akibat gangguan bekalan air boleh menuntut ganti rugi, termasuk syarikat komersial. Bagi pengguna domestik, syarikat air akan menjadi wakil bagi membuat tuntutan,” katanya kepada BH, semalam.

Piapakaran berkata, melalui klausa tambahan, tuntutan ganti rugi boleh dibuat secara formal, lebih mudah dan tanpa perlu melalui proses tindakan sivil di mahkamah.

“Jika pengguna mengambil tindakan undang-undang di mahkamah, proses agak sukar kerana mereka tidak ada bukti berikutan semua bukti penting dipegang agensi kerajaan,” katanya.

Ketika ini, katanya, pesalah bagi kes pencemaran alam sekitar cuma dikenakan denda RM500,000 yang mampu dibayar dalam kebanyakan kes, sekali gus memerlukan hukuman lebih tegas dan peruntukan khusus yang membenarka­n defendan menuntut ganti rugi.

“Apabila ada klausa tambahan, pesalah bukan saja perlu membayar penalti, tetapi juga kos tuntutan (ganti rugi). Klausa ini penting bukan saja bagi memastikan bekalan air melalui sumber air mentah kita mampu bertahan lama, tetapi satu-satunya jalan melindungi hak pengguna," katanya.

Mengikut Seksyen 121(1)(b) dan (c) Akta Industri Perkhidmat­an Air (WSIA) 2006, mahkamah mempunyai pilihan mengenakan hukuman penjara atau denda kepada pesalah, manakala mengikut Akta Kerajaan Tempatan 1976 adalah denda antara RM2,000 hingga RM5,000 dan Akta Kuala Alam Sekeliling memperuntu­kkan denda RM500,000.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia