Berita Harian

Ketiadaan bekalan air bebankan masyarakat

Penempatan di kawasan tinggi masih bergelut dapatkan sumber

- Oleh Fahmy A Rosli fahmy.azril@bh.com.my

Kuala Lumpur: Ketiadaan bekalan air di sekitar kawasan Lembah Klang ternyata menyulitka­n kehidupan harian masyarakat termasuk golongan peniaga.

Walaupun bekalan air di beberapa kawasan sudah pulih, ada tempat masih tidak mendapat bekalan atas pelbagai faktor antaranya tekanan air yang rendah.

Tinjauan BH di sekitar bandar raya ini dan kawasan berhampira­n seperti Gombak mendapati bekalan air semakin pulih tetapi ada tempat aliran air masih perlahan.

Di sekitar Ampang dan Pandan Indah pula mendapati, bekalan air sudah pulih di beberapa lokasi, tetapi penempatan di kawasan tinggi masih bergelut untuk mendapatka­n air.

Rata-rata orang awam yang ditemui kecewa dan kesal dengan pengalaman perit dilalui minggu ini yang terpaksa mencari sumber air dan kemudian mengangkut ke premis masing-masing.

Di Tasik Permai, Pandan Indah, penduduk dan peniaga merungut kerana bekalan air di kawasan mereka masih tiada, sekali gus menyukarka­n rutin harian mereka.

Penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai Krishnasam­y, 46, berkata dia terpaksa mengambil air berulang kali setiap hari di kawasan paip awam disediakan Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) yang terletak sejauh 3.5 kilometer (km) dari rumahnya.

Krishnasam­y yang bekerja sebagai pemandu, ditemani anaknya, membawa 12 tong untuk mengisi air yang perlu dimuatkan ke dalam kereta.

“Memang susah kalau tak ada air sebab nak guna untuk mandi, minum, mencuci. Sakit kepala dibuatnya. Nasib baik hari ini (semalam) cuti, bayangkan hari sekolah dan bekerja.

“Bayangkan saya enam beranak dan turut membela kucing, sudah pasti kami memerlukan air yang banyak. Bertambah beban apabila perlu angkut 12 tong air naik ke rumah di tingkat tiga.

“Kalau bekalan air terputus, kami perlu berjimat cermat. Nak beli air mineral pun ada tempat sudah habis,” katanya kepada BH ketika ditemui sedang mengisi air di paip awam Taman Dagang Permai, Ampang, semalam.

Sementara itu, pemilik kedai makan, Liew Teck Kong, 63, berkata gangguan bekalan air menyukarka­n operasi perniagaan­nya yang memerlukan sumber air yang banyak untuk memasak, membancuh air, mencuci dan keperluan lain.

Katanya, setiap hari dia terpaksa menyediaka­n enam tong bersaiz lapan sehingga 10 liter untuk mengisi air dari rumahnya ke kedai di Tasik Permai yang terletak sejauh 5km.

Bagi pemilik restoran makanan laut, JS Lim, 40, masalah bekalan air yang kerap berlaku di Tasik Permai dikhuatiri menjejaska­n perniagaan­nya.

“Saya perlu bayar gaji 11 pekerja. Saya juga perlu bayar sewa kedai RM5,000 sebulan, bayar bil air, bil elektrik dan tanggung keluarga. Kedai perlu dibuka untuk cari pendapatan.

“Bagi memastikan restoran saya dibuka, saya perlu mengisi 50 tong air setiap hari sepanjang bekalan air terputus. Nasib baik rumah saya tak jauh dari paip awam disediakan Air Selangor,” katanya.

Lim berharap Air Selangor dan kerajaan mengatasi gangguan bekalan air dengan segera bagi membolehka­n masyarakat kembali hidup dalam keadaan sejahtera.

Pencemaran sungai di Rawang sejak Khamis lalu memaksa Air Selangor menutup Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1, 2, 3 dan Rantau Panjang, sekali gus menyebabka­n hampir 1.2 juta akaun di 1,292 kawasan mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual.

Pencemaran itu disyaki berpunca daripada bengkel selenggara mesin dan jentera di Rawang.

Empat beradik yang juga pemilik bengkel berkenaan direman enam hari sejak kelmarin disyaki menjadi punca pencemaran air dan bau di Sungai Gong, Rawang.

Memang susah kalau tak ada air sebab nak guna untuk mandi, minum, mencuci. Nasib baik hari ini (semalam) cuti, bayangkan hari sekolah dan bekerja.

Krishnasam­y, penduduk

Bagi memastikan restoran saya dibuka, saya perlu mengisi 50 tong air setiap hari. Nasib baik rumah saya tak jauh dari paip awam.

JS Lim, pemilik restoran makanan laut

 ?? (Foto Aizuddin Saad/bh) ?? Orang ramai mengambil bekalan air bersih di Pusat Khidmat Setempat Pengurusan Air Selangor yang dibuka di AEON Big Taman Dagang, Ampang, semalam.
(Foto Aizuddin Saad/bh) Orang ramai mengambil bekalan air bersih di Pusat Khidmat Setempat Pengurusan Air Selangor yang dibuka di AEON Big Taman Dagang, Ampang, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia