Berita Harian

Wanita Rohingya ketua Geng Jahan diberkas

-

Klang: Polis menahan seorang wanita Myanmar berusia 30 tahun, dipercayai ketua kumpulan samun tepi jalan dan pecah rumah, Geng Jahan di sini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Nurulhuda Mohd Salleh, berkata tangkapan itu dibuat susulan siasatan ke atas enam ahli kumpulan terbabit yang ditahan sebelum ini.

“Susulan tangkapan tiga lelaki dan tiga perempuan warga Myanmar itu, Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara berjaya menangkap ketua geng samun tepi jalan dan pecah rumah, Geng Jahan yang diburu sejak minggu lalu.

“Kira-kira jam 2.30 pagi semalam (kelmarin), sepasukan pegawai dan anggota IPD Klang Utara dibantu pasukan D8 Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor ke homestay Jalan Sri Bayu Pantai Morib dan menangkap seorang wanita Myanmar berusia 30 tahun, manakala seorang lelaki berusia 39 tahun pula ditahan di sebuah rumah di Taman Ria Jenjarom.

“Ujian saringan air kencing mendapati, wanita dipercayai ketua kumpulan terbabit positif dadah jenis methamphet­amine,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Nurulhuda berkata, dalam tangkapan itu, polis turut merampas sebuah kereta jenis PROTON Wira hitam, surat pajak gadai, beg pelbagai jenama, telefon bimbit pelbagai jenama, kad prabayar Hotlink dan wang tunai, termasuk mata wang asing.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan dan reman ke atas wanita Myanmar dibenarkan selama empat hari bermula semalam (kelmarin) hingga 8 September ini (esok).

“Lelaki warga tempatan yang ditahan itu pula dipercayai memajak sejumlah emas yang dicuri dan diberi jaminan polis hari ini (semalam),” katanya.

Rabu lalu, BH melaporkan polis menahan enam warga Myanmar termasuk tiga wanita, disyaki ahli Geng Jahan yang aktif melakukan jenayah samun dan pecah rumah di sini serta beberapa daerah sekitar.

Jumaat lalu, polis menahan dua suspek di sebuah hotel bajet di bandar Klang dan merampas sejumlah barang kemas dipercayai hasil kegiatan samun serta pecah rumah, manakala empat lagi suspek ditahan di sekitar Klang dan Kuala Langat.

Polis turut merampas sejumlah barang kemas sudah dipajak oleh kumpulan berkenaan di dua kedai pajak di Teluk Panglima Garang.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia