Berita Harian

Rugi RM250,000 ditipu jual beli bijih besi

-

Kuantan: Seorang ahli perniagaan kerugian RM250,000 selepas dipercayai diperdaya seorang lelaki dalam urusan jual beli bijih besi yang tidak wujud.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superinten­dan Mohd Wazir Mohd Yusof, berkata mangsa berusia 53 tahun itu, pada mulanya ditawarkan membeli bijih besi berkenaan oleh seorang lelaki yang dikenali pada pertengaha­n 2013.

“Bijih besi berkenaan kononnya berada di Dungun, Terengganu. Mangsa yang percaya kemudian membuat pembayaran sebanyak RM250,000 kepada suspek,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Beliau berkata, selepas pembayaran diselesaik­an berdasarka­n perjanjian antara mereka, mangsa belum menerima bijih besi berkenaan.

“Mangsa kemudian mendapati bijih besi itu tidak wujud dan sehingga kini, tidak memperoleh kembali wangnya.

“Mangsa cuba menghubung­i suspek, tetapi gagal sebelum membuat laporan polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan di sini, semalam (kelmarin),” katanya.

Mohd Wazir berkata, modus operandi suspek adalah menawarkan jualan bijih besi yang tidak wujud sehingga mendorong mangsa menyerahka­n sejumlah wang.

“Kita sudah merakam percakapan mangsa dan sedang memburu suspek. Polis juga membuat semakan mengenai kesahihan perjanjian dibuat antara mangsa dan suspek,” katanya.

Sementara itu, di Kepala Batas, seorang pesara awam sebuah jabatan kerajaan kerugian RM40,000 selepas terpedaya dengan panggilan diterima daripada lelaki dikenali sebagai ‘Sarjan Fauzi’.

Mangsa lelaki berusia 60-an mendapat panggilan mendakwa dirinya terbabit kes pengubahan wang haram yang mana seorang suspek sudah ditahan bagi membantu siasatan.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor, berkata mangsa diminta merahsiaka­n perkara itu jika enggan ditahan.

“Mangsa turut diarahkan memindahka­n wang simpanan miliknya untuk tujuan siasatan.

“Akibat terlalu takut, mangsa menuruti kata-kata sarjan berkenaan dan memindahka­n RM40,000 wang simpanan miliknya sebelum sedar dirinya terperangk­ap dengan sindiket penipuan lalu membuat laporan polis semalam (kelmarin),” katanya dalam kenyataan, di sini, semalam.

Kedua-dua kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 10 tahun serta sebat dan boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia