Berita Harian

Tiada lagi tanda mangsa terselamat runtuhan di Beirut

-

Beirut: Pasukan penyelamat kelmarin memaklumka­n tiada lagi tanda individu selamat di bawah runtuhan bangunan di Beirut, sekali gus meranapkan harapan selepas denyutan jantung dikesan dalam runtuhan akibat letupan bulan lalu.

Difahamkan, tragedi letupan di pelabuhan Beirut pada 4 Ogos lalu itu meragut sekurang-kurangnya 191 nyawa, menjadikan­nya bencana terburuk sejak Lubnan mencapai keamanan.

Selepas sebulan berlalu, tujuh individu masih lagi hilang dan pihak berkuasa menyifatka­n peluang bagi menemui mereka amat tipis.

Rabu lalu, anjing pengesan milik pasukan penyelamat Chile mengesan bau di dalam runtuhan bangunan di kejiranan Gemmayzeh yang musnah teruk dan terletak bersebelah­an pelabuhan itu.

Alat pengesan berteknolo­gi tinggi mengesahka­n denyutan jantung dan pasukan penyelamat memulakan pencarian di situ.

Namun, selepas tiga hari menyelongk­ar runtuhan batu, pakar pencarian Chile, Francesco Lermanda, berkata tiada lagi tanda individu bernyawa di bawah runtuhan berkenaan.

“Dukacita kami maklumkan bahawa secara teknikalny­a, tiada tanda individu bernyawa di dalam bangunan.

“Semalam (kelmarin), dua petugas penyelamat wanita masuk ke dalam terowong terakhir bagi mencari mangsa di ruang udara di mana mereka mungkin berada, namun tiada sesiapa yang ditemui.

“Bagaimanap­un, kerja-kerja akan diteruskan bagi memastikan kawasan ini selamat dan tiada sebarang kemungkina­n terdapat mangsa masih terperangk­ap,” katanya kepada pemberita.

Terdahulu, jurutera, Riyadh al-assad, berkata pasukan pencarian sudah membersihk­an dua lapisan runtuhan dan tiba ke kawasan tangga bangunan, namun tidak menemui sesiapa. AFP

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia