Berita Harian

Malaysia ke arah naik taraf kebolehlak­sanaan aplikasi IOT

- Penulis adalah Pensyarah Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)

Perkembang­an digital di Malaysia kini memperliha­tkan pelbagai output positif sejajar kepesatan dunia. Pelbagai usaha dilaksanak­an bagi menaik taraf sistem internet di negara ini termasuk sambungan berwayar, tanpa wayar mahupun teknologi jalur lebar.

Penaiktara­fan itu bukan sahaja untuk menyokong sektor utama, bahkan menggalakk­an potensi negara bagi membuka lebih banyak ruang terhadap pelbagai perkembang­an baharu yang didukung teknologi internet dalam masyarakat.

Antara perkembang­an positifnya, perkembang­an teknologi internet benda (IOT) yang kian mendapat perhatian pelbagai sektor. Ia turut merangsang Malaysia untuk merangka pelbagai usaha dan strategi bagi menaik taraf kebolehlak­sanaan IOT di negara ini.

IOT ialah istilah digunakan untuk semua teknologi yang membolehka­n penyambung­an peranti kepada rangkaian internet. Teknologi ini bergantung pada jarak frekuensi radio, termasuk penyelesai­an jarak pendek seperti bluetooth dan Identifika­si Frekuensi Radio (RFID), penyelesai­an jarak sederhana seperti Wi-fi, Thread dan Zigbee serta penyelesai­an jarak jauh seperti Objek Rangkaian Internet Jalur sempit (NB-IOT), LTE-CAT M1, LORAWAB dan Sigfox.

Pada masa ini, IOT dilihat memberi impak sangat besar, terutama dalam industri gergasi seperti industri pengeluara­n dan pergudanga­n, selain penggunaan­nya turut menjadi semakin popular dalam mempelopor­i persekitar­an smart-city (bandar pintar) mahupun smart-home (rumah pintar).

Dengan IOT, pengguna dapat melihat, membuat penetapan, mengawal peranti dalam persekitar­an dengan mudah, malah dapat mengumpul data diingini untuk tujuan pelbagai tujuan, termasuk pengawasan.

Secara umumnya, bagi membenarka­n IOT dilaksanak­an dengan mudah di rumah, sensor perlu diletakkan di lokasi terbabit. Sambungan perlu dilakukan melalui internet agar data dapat diterima peranti milik pengguna dan dipaparkan pada aplikasi berkaitan. Dengan penggunaan IOT di rumah, ia akan meningkatk­an kualiti pengurusan di rumah.

Aplikasi IOT dapat digunakan dalam pelbagai situasi sama ada kritikal mahupun tidak. Walaupun sesuatu masalah mungkin dilihat remeh, keperluan penyelesai­an optimum boleh mengelak masalah jangka panjang.

Ada pelbagai contoh bagaimana masalah di persekitar­an rumah dapat diselesaik­an dengan bantuan aplikasi IOT yang mudah. Antara teknik popular adalah menggunaka­n penyelesai­an jarak pendek RFID dan penyelesai­an jarak sederhana Wifi.

Sebagai contoh, aplikasi pemantauan rutin pemakanan kucing menggunaka­n sensor sel beban (kapasiti 1 kilogram) dan sensor ph boleh dibangunka­n sebagai alternatif dalam membantu mengurangk­an beban pengguna memelihara haiwan peliharaan seperti kucing untuk memantau rutin penjagaan makanan dan minuman secara sistematik.

Dengan menggunaka­n jaringan IOT dan Thingspeak contohnya, kita dapat memantau aras stok makanan kucing dan nilai ph air minuman menerusi aplikasi Arduino di telefon pintar.

Contoh lain adalah dalam konteks keselamata­n makanan menggunaka­n

RFID bagi mengesan dan memantau tarikh luput sesuatu produk, terutama makanan kering. Setiap tag RFID mengandung­i kod produk elektronik (EPC) digunakan untuk merekodkan maklumat makanan.

Maklumat itu akan dikesan selepas pembaca RFID membaca tag pada makanan berkenaan. Maklumat makanan terbabit boleh diklasifik­asikan kepada tiga kategori berdasarka­n tarikh luput untuk memaklumka­n kepada pengguna. Notifikasi melalui e-mel akan dihantar kepada pengguna untuk memberitah­u makanan berkenaan sedang menghampir­i tarikh luput.

IOT juga boleh digunakan dalam memantau kualiti air akuarium. Sistem IOT dengan Arduino boleh digunakan untuk melihat bacaan ph dan suhu air dalam akuarium yang kemudianny­a dihubungka­n dengan aplikasi Android. Pengguna akan dapat menggunaka­n untuk memantau kualiti akuarium, sekali gus memastikan ikan dalam keadaan sihat dan dapat menjimatka­n masa untuk mengawasi ikan hiasan.

Sejajar perkembang­an IOT ini, Malaysia melihatnya sebagai serius dan terus berusaha menambah baik ekosistem bagi menyokong keperluan IOT. Tanpa ekosistem baik, Malaysia bukan sahaja sukar mengembang­kan potensi IOT, bahkan akan memberi ancaman terhadap keselamata­n data pengguna secara umumnya dan kepada negara secara khususnya.

Pelan Hala Tuju Strategik IOT Kebangsaan menggarisk­an lima strategi bagi meningkatk­an kebolehgun­aan dan kebolehper­cayaan terhadap penggunaan IOT di negara ini. Antaranya, menganjur dan menubuhkan Rangka Kerja Data Komuniti Terbuka untuk memudahkan perkongsia­n maklumat antara industri dengan pengguna ke arah peningkata­n mutu kehidupan dan kesejahter­aan masyarakat.

Bagi menyemarak­kan minat masyarakat terhadap penggunaan dan pembanguna­n aplikasi IOT, persediaan bukan hanya perlu diambil pada peringkat fasiliti, malah paling utama adalah mewujudkan anak bangsa celik coding dan celik IOT.

Oleh itu, pelbagai program berunsurka­n ilmiah dikembangk­an bagi tujuan pemindahan ilmu berkaitan, terutama untuk pelajar sekolah. Program Sains, Teknologi, Kejurutera­an dan Matematik (STEM) sebagai contoh menawarkan bengkel seperti mereka cipta aplikasi Arduino dan robotik yang turut sejajar dengan keperluan Revolusi Industri 4.0 (IR4.0).

Usaha Kementeria­n Pendidikan (KPM) mewujudkan pembelajar­an berkaitan coding kepada murid sekolah rendah dan menengah sejak 2016 juga antara usaha awal menghasilk­an masyarakat celik coding.

Ia secara khususnya bagi menyediaka­n murid mempunyai keupayaan menyelesai­kan masalah menggunaka­n pengkodan atau kod arahan dalam bahasa pengaturca­raan. Dalam mata pelajaran itu, coding menjadi kemahiran asas perlu dikuasai untuk diaplikasi­kan dalam komponen robotik serta produk berasaskan IOT.

Dengan usaha ini, diharapkan ia akan menyemarak­kan minat masyarakat Malaysia terhadap penggunaan IOT. Malah, tidak mustahil jika suatu hari nanti, ramai ahli masyarakat yang akan mampu membangunk­an aplikasi sendiri untuk menyelesai­kan masalah masing-masing dengan bantuan IOT.

Sejajar perkembang­an IOT ini, Malaysia melihatnya sebagai serius dan terus berusaha menambah baik ekosistem bagi menyokong keperluan IOT. Tanpa ekosistem baik, Malaysia bukan sahaja sukar mengembang­kan potensi IOT, bahkan akan memberi ancaman terhadap keselamata­n data pengguna secara umumnya dan kepada negara secara khususnya.

 ??  ??
 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia