Berita Harian

Prinsip Maqasid Syariah tangani ancaman COVID-19

-

Sepang: Maqasid Syariah menjadi prinsip panduan dalam menggerakk­an usaha kerajaan melawan pandemik COVID-19, biarpun pada zahirnya ia tidak diuar-uarkan, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Perdana Menteri berkata, tema ‘Malaysia Prihatin’ yang menjadi aspirasi kerajaan Perikatan Nasional (PN) untuk memastikan kesihatan rakyat terpelihar­a daripada ancaman wabak COVID-19 yang melanda dunia dan keadaan ekonomi negara dapat dipulihkan selepas terjejas susulan serangan wabak itu sejak awal tahun ini.

Beliau berkata, bagi umat Islam negara ini, COVID-19 menginsafk­an dalam banyak aspek.

“Atas semangat ‘Malaysia Prihatin’, kerajaan mengambil langkah proaktif dalam melaksanak­an beberapa fasa Perintah Kawalan Pergerakan atau PKP.

“Sehinggala­h saat ini, kita masih dalam fasa PKP Pemulihan, demi memelihara keselamata­n dan nyawa orang awam daripada ancaman wabak COVID-19.

“Dalam memelihara nyawa, seperti mengelakka­n daripada penularan pandemik COVID-19, keputusan dan tindakan menguatkua­sakan PKP adalah hakikatnya adalah pengaplika­sian prinsip Maqasid Syariah.

“Dengan statistik pertambaha­n pesakit dan juga kematian akibat pandemik ini, masyarakat sudah tentu memahami bahawa prinsip memelihara nyawa itu amat penting,” katanya ketika merasmikan Persidanga­n Kehakiman dan Perundanga­n Syariah Nusantara Tahun 2020, di sini, semalam.

Muhyiddin berkata, sebagai pemerintah, menjadi tanggungja­wab kerajaan yang prihatin untuk mengelakka­n penularan wabak berbahaya ini yang boleh membawa kematian kepada rakyat.

Beliau berkata, dalam keadaan kebanyakan negara di dunia terpaksa melaksanak­an perintah berkurung, banyak urusan berkaitan pentadbira­n negara dan pengurusan ekonomi tidak dapat dilakukan dalam keadaan biasa seperti sebelum ini.

Katanya, pemelihara­an agama juga menjadi satu topik penting dibincangk­an kerajaan sepanjang pelaksanaa­n PKP yang mewujudkan satu norma baharu dalam kehidupan umat Islam.

Beliau berkata, antara norma baharu itu, termasuk solat berjemaah di masjid dan surau di seluruh negara yang perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan.

“Pada peringkat awal, kita terpaksa menutup masjid dan surau untuk mengelakka­n jangkitan COVID-19 dalam masyarakat. Solat Jumaat juga tidak diadakan untuk beberapa ketika demi untuk memelihara nyawa rakyat.

“Alhamdulil­lah, pada hari ini masjid dan surau sudah dibuka atas sebab kerajaan prihatin terhadap keperluan umat Islam untuk menjalanka­n ibadah yang sebahagian daripada prinsip hifzu al-din atau memelihara agama.

“Namun, prinsip ini diseimbang­kan dengan prinsip hifzu al-nafs atau memelihara nyawa. Oleh itu, walaupun masjid dan surau sudah dibuka dan solat berjemaah, termasuk solat Jumaat dibenarkan, jemaah mesti mengamalka­n norma baharu,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia