Berita Harian

Pelaksanaa­n WKB 2030 mungkin diteliti semula

Unjuran pencapaian ambil kira kesan pandemik

- Oleh Luqman Arif Abdul Karim luqman.arif@bh.com.my

Sektor ekonomi di negara kita terjejas dan pada masa ini berada dalam proses pemulihan. Situasi ini pastinya memberikan kesan kepada unjuran pencapaian objektif WKB menjelang 2030.

Muhyiddin Yassin, Perdana Menteri

Kuala Lumpur: Pelaksanaa­n rangkaian inisiatif Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB) 2030 mungkin perlu diteliti semula dengan mengambil kira kesan pandemik COVID-19, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Perdana Menteri berkata, kesan pandemik itu terhadap beberapa teras strategik WKB 2030 ketika ini sedang ditangani menerusi inisiatif Pakej Rangsangan Eknomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA).

Misalnya, beliau berkata, teras satu dan dua WKB 2030, iaitu ekosistem perniagaan dan industri serta aktiviti pertumbuha­n ekonomi utama dirangsang semula, pasca pandemik COVID-19 menerusi penyaluran dana berkaitan.

“Saya sedar pandemik COVID-19 yang melanda seluruh dunia memberi kesan besar kepada pertumbuha­n ekonomi kebanyakan negara, termasuk Malaysia.

“Sektor ekonomi di negara kita terjejas dan pada masa ini berada dalam proses pemulihan. Situasi ini pastinya memberikan kesan kepada unjuran pencapaian objektif WKB menjelang 2030,” katanya pada ucaptama sempena Sesi Balai Rakyat Makmur Bersama di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), di sini, semalam.

Yang turut hadir, Menteri Kanan Pendidikan, Dr Radzi Md Jidin; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas), Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof; Menteri Komunikasi dan Multimedia,

Datuk Saifuddin Abdullah; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali dan Ketua Pegawai Eksekutif Institut Masa Depan Malaysia (MASA), Mohd Nizam Mahshar.

Perdana Menteri berkata, susulan itu juga, kerajaan melalui geran khas PRIHATIN bagi perusahaan kecil dan sederhana (PKS) menyalurka­n bantuan kewangan secara sekali pemberian, khusus untuk meringanka­n bebanan perniagaan mereka yang terjejas akibat wabak COVID-19.

“Sebanyak RM1.63 bilion disalurkan kepada 544,688 PKS mikro yang layak. Selain itu, sebanyak RM9.57 bilion diluluskan kepada 20,769 PKS yang layak menerusi program Kemudahan Bantuan Khas (SRF) dan RM28.7 juta disalurkan kepada 171 PKS menerusi program PENJANA Pembiayaan PKS (SPF).

“Hampir 300 permohonan juga diterima di bawah inisiatif pembiayaan mudah Bumiputera (kendalian) Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan Permodalan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) membabitka­n pembiayaan sebanyak RM173.6 juta,” katanya.

Muhyiddin berkata, Majlis Tindakan Kemakmuran Bersama (MTKB) yang dipengerus­ikan beliau sendiri, akan ditubuhkan sebagai mekanisme pemantauan peringkat tertinggi.

Katanya, percaturan itu penting kerana WKB 2030 adalah dasar teras dalam pembanguna­n negara untuk tempoh 10 tahun akan datang.

“Unit Penyampaia­n Kemakmuran Bersama (SEPADU) akan bertindak sebagai sekretaria­t majlis dan jawatankua­sa-jawatankua­sa di bawahnya,” katanya.

 ?? (Foto Eizairi Shamsudin/bh) ?? Muhyiddin (tengah) bersama Mohd Nizam (empat dari kiri) dan Radzi (dua dari kiri) pada Sesi Balai Rakyat Makmur Bersama di Kuala Lumpur, semalam.
(Foto Eizairi Shamsudin/bh) Muhyiddin (tengah) bersama Mohd Nizam (empat dari kiri) dan Radzi (dua dari kiri) pada Sesi Balai Rakyat Makmur Bersama di Kuala Lumpur, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia