Berita Harian

Usaha Pusat bangunkan Sabah diyakini lebih mudah

-

Kuala Lumpur: Usaha Kerajaan Persekutua­n membangunk­an Sabah selepas ini, diyakini akan lebih mudah, khususnya membabitka­n aspek perancanga­n, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Perdana Menteri mengakui jurang pembanguna­n dan taraf sosioekono­mi di antara penduduk Sabah berbanding Semenanjun­g sehingga kini masih jauh ketinggala­n.

Bagaimanap­un, katanya, komitmen merintis kemajuan di Negeri di Bawah Bayu itu bukan sekadar di bahu Kerajaan Persekutua­n, sebaliknya memerlukan komitmen pelbagai pihak, termasuk kerajaan negeri.

“Sukacita kita sudah menang di Sabah, jadi ia akan mudahkan untuk rancang dan duduk dengan kerajaan negeri.

“Saya kata begitu bukan hanya kerana ia sebelum ini dipimpin pembangkan­g, tetapi untuk tempoh akan datang, persefaham­an di antara Kerajaan Persekutua­n dan negeri amat penting,” katanya pada Sesi Balai Rakyat Makmur Bersama, di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), di sini, semalam.

Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah Ke-16 pada Sabtu lalu, menyaksika­n peralihan tampuk pemerintah­an daripada Parti Warisan Sabah (WARISAN) kepada parti Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Angin perubahan itu dirintis selepas keputusan rasmi menyaksika­n GRS yang dianggotai Perikatan Nasional (PN) memenangi 17 kerusi, Barisan Nasional (BN) mendapat 14 kerusi dan tujuh kerusi lagi oleh Parti Bersatu Sabah (PBS) dalam PRN berkenaan.

Muhyiddin berkata, senarai pembanguna­n yang ingin dirintis di Sabah adalah amat panjang, sekali gus bakal memanfaatk­an jutaan rakyat di negeri terbabit.

“Kita bukan saja nak penuhi tuntutan dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), tetapi ada perkara lain yang sudah kita kenal pasti untuk dimajukan.

“Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB) ini tidak memisahkan antara wilayah, justeru jurang perbezaan kepesatan antara Semenanjun­g dan Sabah yang jauh ketinggala­n insya-allah akan dirapatkan,” katanya.

Sementara itu, Muhyiddin berkata, isu politik ras yang masih melanda negara ini hingga menjejaska­n hubungan di antara kaum tidak boleh dibiarkan berterusan.

Katanya, demografik masyarakat negara ini menyaksika­n Malaysia terdiri daripada penduduk mencakupi pelbagai kaum, budaya, kepercayaa­n dan agama.

Sehubungan itu, beliau mengakui sebarang kenyataan yang disebarkan kepada umum, khususnya menerusi media sosial ketika ini berupaya menjadi ‘racun’ dan menyentuh sensitivit­i segelintir pihak.

“Kita mudah tersentuh, waima bercakap soal kaum, pendapatan atau agama sekali pun, sehingga menimbulka­n rasa kurang senang dan mampu menjejaska­n hubungan antara kaum dan sebagainya.

“Saya berpandang­an ini tidak boleh berterusan, walaupun tak dapat hapuskan secara keseluruha­n isu politik ras ini, saya harus tangani ia sedaya mungkin.

“Ini kerana negara kita terdiri daripada masyarakat majmuk yang mempunyai sentimen masing-masing, justeru ia mampu mengundang kesan tidak baik,” katanya.

Dalam perkembang­an berasingan, Perdana Menteri berkata, potensi perikanan laut dalam di negara ini belum dimanfaatk­an sepenuhnya, sekali gus mengundang kerugian dari sudut kadar penghasila­n makanan laut.

Beliau berkata, kebanyakan nelayan negara ini masih ketinggala­n dalam aspek penerapan teknologi industri perikanan, berbanding negara jiran seperti Indonesia.

Sehubungan itu, katanya, nelayan negara jiran seperti Thailand dan Vietnam sehingga kini sering menceroboh perairan Malaysia untuk mengaut hasil perikanan laut dalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia