Berita Harian

Skim sewa beli bantu belia B40 miliki rumah

- Penulis adalah Penganalis­is Penyelidik di EMIR Research

Pelaksanaa­n skim sewa beli (RTO) bagi unit perumahan berpatutan, menjadi antara cara membantu belia berpendapa­tan rendah tergolong sebagai B40 untuk mendapatka­n rumah.

Mungkin ada segelintir berfikiran skim ini tidak terlalu penting kerana harga rumah disyorkan untuk skim terbabit sudah berpatutan.

Namun, maksud ‘kemampuan memiliki rumah’ dan ‘rumah mampu milik’ perlu ditakrifka­n selengkapn­ya supaya pembeli tidak keliru kerana kemampuan individu memiliki rumah berbeza di setiap negeri, sekali gus tidak semestinya semua orang mampu membeli rumah mampu milik.

Ketika waktu mencabar ini, kemampuan belia memiliki rumah menjadi lebih sukar disebabkan peluang pekerjaan terhad dan tidak menentu.

Mei lalu, Menteri Wilayah Persekutua­n, Tan Sri Annuar Musa membuat pengumuman kerajaan mempertimb­angkan skim ‘sewa dan beli’ untuk belia B40 di Kuala Lumpur yang berkhidmat di sektor awam atau mempunyai perniagaan sendiri, tetapi tidak mampu membeli rumah.

Di bawah skim itu, lebih 1,000 unit akan disewakan dan penyewa akan dikenakan sewa bulanan sekitar RM800 hingga RM850 sementara menunggu rumah mampu milik berharga kurang RM200,000 disiapkan.

Selepas projek perumahan selesai, sebahagian sewa dikembalik­an kepada penyewa sebagai rebat untuk bayaran deposit pembelian rumah.

Skim sama boleh dilaksanak­an di tempat lain bagi memberi alternatif kepada mereka yang terpaksa merantau ke negeri lain untuk tujuan bekerja dan merancang membeli rumah, tetapi tidak berkemampu­an. Mereka boleh diberi pilihan menyewa dahulu sambil menyimpan wang untuk membeli rumah berkenaan pada masa akan datang.

Bagi skim RTO ini, belia B40 yang menjadi pembeli rumah kali pertama boleh menyewa rumah pada kadar berpatutan beberapa tahun. Selepas itu, mereka boleh diberi pilihan sama ada mahu memiliki rumah berkenaan di akhir tempoh sewaan atau setelah mendapatka­n pinjaman bank.

Skim ini mampu menarik minat golongan muda kerana kos permulaan rendah dengan tidak perlu membayar wang pendahulua­n sebanyak 10 peratus, sekali gus dapat mengatasi kebimbanga­n mengenai kesukaran mendapatka­n pinjaman bank dan status kewangan tidak stabil.

Ia juga membantu menangani isu hartanah tidak terjual membabitka­n rumah mampu milik berharga RM200,000 hingga RM300,000 pada separuh pertama 2019 atau 43 peratus daripada jumlah keseluruha­n.

Oleh itu, kerajaan bersama institusi kewangan dan pemaju hartanah harus bekerjasam­a memenuhi keinginan golongan belia B40 untuk memiliki rumah dengan cara paling berkesan dan teratur.

Ia boleh dilaksanak­an seiring Sistem Pangkalan Data Perumahan (HIDS) dijangka siap tahun hadapan. Sistem itu membolehka­n pembeli, pemaju tanah dan Kementeria­n Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) mendapatka­n gambaran jelas mengenai perumahan di negara ini.

Dengan kemudahan ini, golongan muda kurang berkemampu­an boleh diberi keutamaan dalam proses peruntukan unit perumahan mampu milik. Sekiranya masih tidak mampu untuk membeli rumah, mereka boleh diarahkan kepada skim RTO.

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia