Berita Harian

Petugas kesihatan perlu sokongan

- Dr Wan Mohd Rushidi Wan Mahmud, Pakar Perunding Psikiatri & Psikologi, Kedah Medical Centre

COVID-19 meragut lebih sejuta nyawa dan menjangkit­i hampir 34 juta manusia. Ia masih bermaharaj­alela yang belum ada tanda akan reda. Vaksin masih tiada lagi, manakala bentuk rawatan terbaik juga belum dapat dipastikan.

Di negara ini, walaupun boleh dikatakan terkawal, kewujudann­ya banyak mengubah kehidupan. Langkah bijak kerajaan dan Kementeria­n Kesihatan (KKM) berjaya melandaika­n lengkung jangkitan. Statistik terkini menunjukka­n lebih 10,000 pesakit dijangkiti, sekali gus jauh lebih rendah berbanding negara lain.

Namun, setiap hari ada saja kes baharu dilaporkan. Penularan sukar dikawal kerana ia boleh berlaku di mana-mana saja. Risiko dijangkiti tetap sama tidak kira kedudukan atau bangsa.

Norma baharu menjadi realiti yang terpaksa kita diterima. Bersalam bukan lagi menjadi kebiasaan, menunaikan solat pun dalam keadaan berjarak hingga ungkapan rapat dan luruskan saf sudah lama tidak kedengaran.

Dalam usaha mengawal pandemik ini, petugas kesihatan tentunya memainkan peranan utama. Mereka menjadi wira dan wirawati negara di barisan hadapan demi mempertaha­nkan rakyat.

Cuma kadang-kala kita mudah lupa, mereka juga berdepan bahaya sama. Malah, risiko dijangkiti lebih tinggi kerana terdedah kepada COVID-19 setiap hari.

Setiap hari, mereka menyabung nyawa demi memastikan kehidupan kita semua kekal terpelihar­a. Hakikatnya, mereka bukan robot atau mesin berfungsi 24 jam sehari tanpa rehat dan tidur secukupnya. Risau, takut dan bimbang tentunya ada dalam fikiran mereka. Walaupun ada prosedur operasi standard (SOP) sebagai panduan, ia bukan jaminan mutlak untuk tidak mendapat jangkitan.

Petugas kesihatan juga ada keluarga dan saudara-mara. Tanggungja­wab dipikul tidak kurang beratnya. Anak, isteri, suami dan ibu dan bapa, semuanya memerlukan kasih sayang dan perhatian. Jika diberi pilihan, tentunya mereka memilih diam di rumah.

Ironinya, apabila ada petugas kesihatan dijangkiti, masyarakat mudah berubah hati. Kalau dulunya disanjung dan dihormati, kini mereka umpama musuh perlu dijauhi. Istilah wira dan wirawati tidak lagi kedengaran, sebaliknya diganti kecaman dan kata nista tidak berkesudah­an.

Ada disisih dan dikeji seolah-olah penyakit dihidapi akibat kesilapan sendiri. Sanak-saudara mula menjauhkan diri kerana bimbang akan turut menerima nasib yang sama di kemudian hari. Keluarga terdekat tiada pilihan.

Keadaan ini bukan hanya di negara ini, malah turut berlaku di seluruh dunia. Stigma kepada mereka kadang-kala lebih buruk dan mengancam keselamata­n diri serta ahli keluarga. Mungkin ia wujud akibat kurangnya pengetahua­n mengenai virus ini serta risiko penularan sangat tinggi.

Manusia lazimnya amat takut kepada apa mereka tidak tahu dan lebih mudah menuding jari kepada orang lain demi menyembuny­ikan kelemahan sendiri.

Bilangan petugas kesihatan sebenarnya bukan sedikit. Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), seorang dalam setiap tujuh orang atau lebih kurang 14 peratus yang dijangkiti COVID-19, adalah dalam petugas kesihatan. Malah, di sesetengah negara, jumlahnya hampir 35 peratus daripada kes diterima.

Di negara ini, kita masih bernasib baik. Bilangan terbabit masih jauh lebih rendah. Menurut data KKM, antara Februari hingga bulan ini, lebih 600 petugas kesihatan dijangkiti COVID-19.

Seramai 406 daripada mereka ialah kakitangan hospital kerajaan, bakinya daripada hospital swasta dan hospital universiti. Kluster Sungai, Telaga dan Sentosa, itulah antara ‘lubuk’ paling banyak merekodkan jangkitan.

Selain stigma sosial, ada dalam kalangan mangsa mula membenci diri sendiri. Persepsi negatif wujud kerana mereka turut terpengaru­h dengan pandangan masyarakat. Mungkin betul apa dikata, semua yang berlaku akibat kecuaian diri hingga menyebabka­n orang lain turut menderita.

Dalam kajian dijalankan di Wuhan, China membabitka­n 1,257 petugas perubatan daripada 34 hospital antara Januari hingga Februari lalu, lebih 70 peratus didapati mengalami masalah tekanan emosi atau gangguan jiwa.

Murung, gelisah dan insomnia antara gejala utama. Apabila ini mula berlaku, risiko untuk bunuh diri turut dikhuatiri boleh berlaku.

Secara mudahnya, hidup sebagai petugas kesihatan penuh dilema. Ditelan mati emak, diluah mati bapa. Tugas dan tanggungja­wab harus dipikul. Namun, keselamata­n diri dan keluarga juga perlu dipelihara.

Diskrimina­si terhadap mereka tidak harus berlaku. Stigma berterusan pastinya akan memburukka­n keadaan. Mereka amat perlukan sokongan, bukannya penghinaan tiada batasan.

Pastikan semua petugas kesihatan mendapat pembelaan sewajarnya. Daripada PPE mencukupi hingga penyediaan khidmat psikososia­l dan sokongan emosi. Itu semua sebenarnya keperluan, bukannya kehendak.

Titipkan doa setiap hari agar mereka dan keluarga sentiasa diberkati. Lindungila­h petugas kesihatan daripada segala kemudarata­n agar mereka dapat kembali dan terus berbakti.

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia