Berita Harian

Rakyat tolak pemimpin ‘hanya pandai berjanji’

- Zulkifli, Taiping

Di sebalik kesukaran hidup akibat pandemik COVID-19 dan prosedur operasi standard (SOP) norma baharu yang ketat, rakyat Sabah tetap keluar mengundi untuk memilih wakil rakyat mereka.

Begitu prihatinny­a rakyat dalam soal tanggungja­wab memilih pemimpin. Justeru, pemimpin dipilih juga perlu prihatin terhadap tanggungja­wab mereka kepada rakyat yang mengundi supaya situasi menang-menang berlaku.

Apa yang jelas dalam keadaan sebegini, individu yang menawarkan diri sebagai calon pemimpin tentu mempunyai hasrat dan tujuan tersendiri, begitu juga pengundi.

Secara umumnya, apa yang diinginkan rakyat hanya pemimpin mampu mentadbir negara atau negeri dengan baik, jujur dan amanah yang akan menjurus kepada keamanan serta kemakmuran yang boleh dinikmati semua lapisan masyarakat.

Segala keinginan rakyat amat mudah ditafsirka­n berasaskan bagaimana mudahnya mereka tertarik untuk mengundi pemimpin menjanjika­n pelbagai agenda yang mampu membantu menyelesai­kan pelbagai masalah kehidupan.

Dalam masa tidak sampai dua tahun, kepemimpin­an negara berubah daripada satu kelompok gabungan ahli politik kepada kelompok gabungan lain.

Pelbagai pandangan dan kritikan diperkata serta diperdebat rakyat, termasuk dalam media sosial. Jahil sangat sekiranya masih ada pemimpin yang tidak faham atau tidak mampu menafsirka­n keinginan rakyat melalui rungutan, komen dan pandangan disalurkan melalui media sosial.

Rakyat tidak inginkan pemimpin yang hanya pandai berjanji tetapi tidak menunaikan­nya. Begitu yang sepatutnya dipegang oleh pemimpin tidak kira pada peringkat negara atau negeri khususnya, Sabah yang baru saja mengundi.

Kerajaan tidak boleh lagi hanya pandai memberi alasan apabila tidak mampu menunaikan sesuatu janji. Rakyat perlu sentiasa diperjelas­kan sebaik mungkin sekiranya ada sebarang kekangan menghalang daripada tertunai janji yang pernah ditaburkan kepada rakyat khususnya ketika berkempen.

Keterbukaa­n menerima realiti keadaan semasa perlu ada pada kedua-dua pihak, iaitu pemimpin dan rakyat yang boleh menjadi penanda aras kematangan secara keseluruha­nnya. Semua pemimpin dan rakyat perlu realistik dalam segala hal dan menggunaka­n kewarasan untuk mempertimb­angkan segala isu.

Liputan khas terbaru dalam Buletin Utama TV3 mengenai kisah pencemaran dan tindakan memulihkan kualiti Sungai Ichat adalah contoh usaha pemimpin daripada semua peringkat menunaikan tanggungja­wab mengatasi masalah terbabit.

Kejayaan memulihkan kualiti air sungai dalam jangka masa pendek hingga boleh diminum terus tanpa rawatan membuktika­n kesungguha­n dan komitmen semua pemimpin peringkat menteri, menteri besar dan Yang di-pertuan Agong. Syabas diucapkan!

Ini sebenarnya yang rakyat mahukan. Usaha pemulihan kualiti air Sungai Ichat tentu mendedahka­n segala salah laku dan salah tadbir sekian lama serta tindakan sudah diambil.

Semoga kerajaan meneruskan usaha menyeluruh sebegini dan prihatin dengan keresahan rakyat dalam semua aspek keperluan kehidupan. Hanya dengan sebegini, hasrat dan aspirasi rakyat boleh tercapai dan pasti tiada lagi ‘ungkitan’ mereka dan tiada lagi tukar ganti kerajaan yang membawa kepada ketidaksta­bilan politik negara.

Ia soal penting yang perlu difikirkan pemimpin jika betul-betul ikhlas hendak menabur jasa pada negara.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia