Berita Harian

Dua pelajar sekolah menengah di Pandamaran Jaya positif

-

Shah Alam: Jabatan Kesihatan Negeri Selangor memaklumka­n dua pelajar di sebuah sekolah menengah di Pandamaran Jaya, Pelabuhan Klang dekat sini, dikesan positif COVID-19.

Pengarahny­a Datuk Dr Sha’ari Ngadiman, ketika dihubungi berkata, kedua-dua pelajar berkenaan sudah dihantar ke Hospital Sungai Buloh, untuk mendapatka­n rawatan lanjut.

Kedua-dua pelajar berkenaan yang juga adik-beradik disyaki dijangkiti oleh abang mereka, yang mempunyai sejarah perjalanan ke Sabah baru-baru ini.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Selangor (JPNS), Izmi Ismail, pula berkata, sekolah berkenaan masih meneruskan sesi persekolah­an seperti biasa kelmarin namun kelas kedua-dua beradik itu sudah disanitasi sepenuhnya terlebih dahulu, sebelum digunakan.

Katanya, sebarang tindakan lanjut seperti penutupan sekolah itu sekiranya perlu, adalah berdasarka­n kepada nasihat daripada Pejabat Kesihatan Daerah Klang.

Sementara itu di Johor Bahru, CIMB Group Holdings Bhd mengesahka­n satu kes COVID-19 membabitka­n seorang kakitangan­nya yang bertugas di bahagian komersial, cawangan Permas Jaya.

Kumpulan itu menyatakan sebagai tindakan pencegahan, keseluruha­n cawangan itu sudah melalui sanitasi dan pembersiha­n, pada 27 September.

“Ini berikutan satu kes yang disahkan COVID-19 di pejabat Komersial Bank CIMB, yang terletak di tingkat berbeza cawangan Permas Jaya. Tiada kakitangan cawangan bank berurusan dengan pekerja komersial bank itu,” katanya dalam satu kenyataan yang dimuat naik menerusi Facebook CIMB Malaysia, di sini kelmarin.

Bank itu turut memberikan jaminan kepada pelanggann­ya yang cawangan bank CIMB Bandar Baru Permas Jaya dibuka seperti biasa.

Pengarah Kesihatan Johor Dr Aman Rabu yang dihubungi, turut mengesahka­n proses sanitasi yang dilakukan CIMB itu adalah atas inisiatif sendiri dan langkah-langkah kawalan, berikutan pengesanan kes COVID-19 membabitka­n kakitangan bank berkenaan.

BERNAMA

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia