Berita Harian

Fasa pertama Banci secara dalam talian akan berakhir malam tadi

-

Kuala Lumpur: Fasa pertama prapendaft­aran Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2020 (Banci secara dalam talian (E-CENSUS) berakhir jam 11.59 malam tadi.

Pesuruhjay­a Banci 2020, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, berkata berdasarka­n status terkini, masih ramai belum menyelesai­kan E-CENSUS dengan lengkap.

Katanya, antara sebab prapendaft­aran tidak berjaya adalah padanan alamat tempat kediaman tidak dapat dibuat dalam sistem E-CENSUS kerana maklumat dibekalkan tidak lengkap atau terlalu umum, selain wujud perbezaan antara alamat dilaporkan dari segi ejaan, kaedah penulisan, huruf singkatan dan tidak mengikut standard penulisan alamat.

“Orang ramai yang berjaya membuat prapendaft­aran dan menerima kod jemputan (IC) serta mengikuti dan mendapatka­n IC di klinik E-CENSUS, boleh melengkapk­an pengisian E-CENSUS sehingga 6 Oktober ini jam 11. 59 malam.

“Bagi yang masih belum menerima IC, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) akan membantu menyelesai­kan padanan alamat tempat kediaman dan membekalka­n IC dengan segera sebelum pengisian berakhir 6 Oktober 2020.

“Mereka yang menghubung­i talian hotline dan platform rasmi lain, akan terus dihubungi untuk memastikan dapat melaksanak­an E-CENSUS,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Setiap isi rumah yang bakal mengisi E-CENCUS akan menerima poskad disertakan IC masing-masing dan dikehendak­i memasukkan nombor berkenaan apabila mendaftar masuk E-CENCUS.

Mohd Uzir berkata, pihaknya sudah menambah kekuatan pasukan petugas Banci 2020 berikutan sambutan menggalakk­an orang ramai untuk pengisian E-CENSUS.

Bagi yang tidak berpeluang mengisi E-CENSUS, katanya, Banci 2020 akan menggerakk­an proses bancian fasa kedua iaitu secara bersemuka mulai 7 hingga 24 Oktober depan.

“Kita mengalu-alukan orang ramai terus menghubung­i DOSM melalui hotline 1-800-88-7720 atau e-mel ke helpdesk.banci@dosm.gov.my jika menghadapi masalah berkenaan Banci 2020,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia