Berita Harian

Paras hutang kerajaan masih terurus

Bank Dunia jangka ekonomi Malaysia meningkat pada 2021

-

hutang kerajaan Malaysia masih terurus meskipun terdapat peningkata­n pinjaman sektor awam bagi mengekang impak penularan COVID-19 di negara ini, kata Pengurus Negara Bank Dunia di Malaysia, Dr Firas Raad.

Beliau berkata, Bank Dunia berpandang­an demikian memandangk­an hutang kerajaan itu didominasi dalam ringgit, manakala tempoh matangnya juga berjangka panjang dan sederhana.

Bagaimanap­un tegasnya, hutang swasta sama ada hutang isi rumah atau korporat meningkat dan berpotensi memberi risiko kepada sistem kewangan negara.

“Namun begitu, risiko ini (peningkata­n hutang swasta) akan diimbangi oleh aset kewangan isi rumah dan keuntungan serta permodalan institusi perbankan.

“Kami jangka ekonomi Malaysia akan meningkat pada 2021 dengan jangkaan pertumbuha­n 6.3 peratus. Langkah pencegahan pandemik penting untuk memastikan pemulihan ekonomi,” katanya pada taklimat media secara maya mengenai perkembang­an terkini ekonomi Malaysia, semalam.

Yang turut hadir, Ketua Ahli Ekonomi Bank Dunia bagi Malaysia, Richard Record.

Pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat Ogos lalu, Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Abd Rahim Bakri, berkata kedudukan hutang negara dan pendedahan liabiliti kerajaan pada akhir tahun ini dianggarka­n berjumlah RM1.264 trilion.

Beliau berkata, jumlah itu mengambil kira defisit keseluruha­n bagi tahun ini termasuk pembiayaan pakej rangsangan dan pemulihan ekonomi yang dilaksanak­an kerajaan bagi mengekang impak penularan COVID-19.

Kerajaan juga menaikkan had statutori hutang sehingga 60 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), berbanding 55 peratus sebelum ini.

Semua pakej rangsangan ekonomi yang dilaksanak­an kerajaan setakat ini berjumlah RM305 bilion dan ia dijangka menyumbang 3.7 hingga 4.0 mata peratusan kepada KDNK Malaysia bagi tahun ini, sekali gus meletakkan negara dalam kedudukan yang lebih baik untuk pemulihan ekonomi menjelang tahun depan.

Mengulas mengenai impak situasi politik yang tidak menentu terhadap pemulihan ekonomi negara, Firas berkata, ketidakten­tuan politik adalah sebahagian dalam kitaran demokratik apabila pilihan raya diadakan.

Beliau berkata, apa yang membimbang­kan pelabur dan perniagaan adalah kestabilan dalam pelaksanaa­n dasar kerajaan.

“Faktor penting adalah dasar. Apa yang dimahukan pelabur domestik dan asing serta peniaga adalah jangkaan yang mencukupi untuk mereka melindungi pelaburan mereka,” katanya.

Langkah pencegahan pandemik penting untuk memastikan pemulihan ekonomi.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia