Berita Harian

Tempoh perniagaan lebih pendek

-

Kuala Lumpur: Tempoh perniagaan lebih pendek adalah antara prosedur operasi standard (SOP) diperketat­kan susulan pelaksanaa­n kawalan rentas daerah di seluruh Sabah, yang sedang berkuat kuasa sehingga 16 Oktober ini.

Menteri Kanan (Keselamata­n), Datuk Seri Ismail Sabri, berkata waktu operasi premis perniagaan seperti restoran, kedai makan dan serbaneka di Sabah, kini hanya dibenarkan dibuka mulai jam 6 pagi hingga jam 8 malam.

Selain itu, katanya, waktu operasi stesen minyak di seluruh negeri juga ditetapkan untuk tempoh sama, manakala pasar harian dibenarkan dibuka mulai jam 6 pagi hingga jam 2 petang.

“Pasar malam, pasar tani, tamu dan pasar borong, pula dibenarkan beroperasi berdasarka­n SOP sedia ada.

“Teksi dan e-hailing dibenarkan beroperasi mulai jam 6 pagi hingga jam 8 malam, sebarang perincian SOP berkaitan boleh dirujuk di laman web Majlis Keselamata­n Negara (MKN),” katanya.

Kerajaan sebelum ini mengumumka­n empat daerah di Sabah iaitu Kunak, Semporna, Lahad Datu dan Tawau dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat­kan (PKPD) Secara Pentadbira­n (TEMCO), berkuat kuasa 29 September lalu hingga 12 Oktober ini.

Arahan membabitka­n 962,661 penduduk itu diputuskan Majlis Keselamata­n Negara (MKN) selepas empat daerah berkenaan mencatatka­n peningkata­n kes COVID-19, iaitu masing-masing 241 kes di Lahad Datu, Tawau (634 kes), Kunak (65 kes) dan Semporna (255 kes).

Sepanjang pelaksanaa­n TEMCO, semua pergerakan keluar masuk tidak dibenarkan, manakala semua aktiviti perniagaan dihentikan, kecuali premis barangan keperluan dan perkhidmat­an.

Selepas pelaksanaa­n TEMCO terhadap empat daerah terbabit, MKN mengumumka­n langkah kawalan rentas daerah di seluruh negeri, dalam usaha mengekang penularan pandemik itu di Sabah.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia