Berita Harian

KASA bina lima stesen kualiti sungai seluruh Selangor

-

Rawang: Kementeria­n Alam Sekitar dan Air (KASA) akan membina lima stesen kualiti di sungai seluruh Selangor untuk mencegah pencemaran sumber berkenaan serta mengelak gangguan air kepada pengguna di Lembah Klang.

Ketua Setiausaha­nya, Datuk Seri Dr Zaini Ujang, berkata lima stesen itu akan dibina sekurang-kurangnya dalam tempoh lima hingga enam bulan lagi di beberapa lokasi yang sudah dikenal pasti.

Dengan penambahan stesen kualiti air itu, katanya, pihak berkuasa mampu mengesan sebarang pencemaran dengan lebih cepat dan tindakan drastik dengan segera.

“Beberapa proses pencerapan termasuk ‘sampling’ air sungai boleh dibuat dengan cepat apabila pencemaran dikesan, malah pihak berwajib boleh memaklumka­n kepada penduduk dalam tempoh 24 jam atau sebelum ia tiba di ‘muka sauk’ sungai.

“Pembinaan ini juga antara langkah pencegahan segera yang dilakukan KASA dalam memastikan pencemaran sungai tidak berulang memandangk­an langkah lain seperti pindaaan undang-udang memakan masa yang lama,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas program gotong-royong membina denai sungai oleh KASA bersama beberapa agensi kerajaan lain dan penduduk setempat di Sungai Gong, di sini semalam.

Katanya, stesen itu tidak dilengkapi pencerapan bau kerana teknologi sedemikian masih belum ada, namun ia boleh dikesan secara manual, iaitu penduduk sekitar dan orang ramai yang menghidu bau tidak sepatutnya di sungai, perlu segera melaporkan kepada pihak berkuasa.

“Melalui cara ini, ia akan membantu kita mengambil tindakan drastik. Sebagai contoh di Sungai Gong, ia memerlukan tempoh hampir 12 jam untuk pencemaran tiba di muka sauk,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, pembinaan denai di Sungai Gong salah satu insiatif kerajaan untuk memastikan pencemaran sungai tidak lagi berlaku kerana kawasan itu bakal menjadi tempat tumpuan orang ramai yang boleh membuat laporan jika mengesan kejadian tidak diingini.

“Proses bina denai di sini hanya ambil masa sehari dan ia cara paling mudah untuk memastikan semua pihak memainkan peranan. Denai ini bukan sahaja kawasan pemantauan pencemaran, malah mampu mencantikk­an lagi persekitar­an sungai untuk dijadikan tempat reakreasi,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia