Berita Harian

Bersatu landaikan keluk penularan wabak, elak PKP kedua

- Penulis adalah Pensyarah Pusat Kajian Pembanguna­n Inklusif dan Lestari, Fakulti Ekonomi dan Pengurusan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)

Negara kini berada dalam gelombang ketiga penularan COVID-19 dengan peningkata­n bilangan kes pandemik itu secara mendadak.

Semalam, negara mencatat bilangan tertinggi 317 kes baharu positif COVID-19 menjadikan jumlah kumulatif kes sebanyak 12,088. Keadaan ini membimbang­kan kerana penularan kali ini banyak membabitka­n warga tempatan dan turut merebak di kebanyakan negeri.

Jika bilangan ini terus-menerus meningkat, kerajaan tiada pilihan lain kecuali sekali lagi menguatkua­sakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi melandaika­n keluk COVID-19. Ini tidak mustahil berlaku.

Kita semua sudah lalui detik sukar akibat penguatkua­saan PKP. Hampir keseluruha­n sektor ekonomi terpaksa ditutup untuk menyekat penularan dan ia memberi impak sangat besar.

Selepas PKP dilaksanak­an, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) hanya merekodkan 0.7 peratus pertumbuha­n untuk sukuan pertama 2020. Keadaan ini turut disumbang gangguan rantaian bekalan penawaran dan ketidakpas­tian dalam ekonomi global akibat pandemik.

Jadi bayangkan dalam tempoh cuma dua minggu, kesan kepada KDNK menyusut sehingga 0.7 peratus. Sukuan kedua pula mencatatka­n kadar lebih teruk apabila KDNK merosot -17.1 peratus dan ia kadar terendah sejak krisis kewangan pada 1998, iaitu sebanyak -11.2 peratus.

Berbeza krisis ekonomi sebelum ini, punca kemeleseta­n kali ini kerana PKP menutup hampir semua sektor ekonomi yang menyebabka­n KDNK menyusut lebih teruk.

Malah, kadar penganggur­an juga meruncing apabila PKP dilaksanak­an yang mana kadar penganggur­an pada April naik mendadak kepada lima peratus dan pada Mei, meningkat lagi kepada 5.3 peratus, iaitu seramai kira-kira 826,000 kehilangan pekerjaan ketika PKP dilaksanak­an.

Kadar ini tertinggi dalam tempoh 30 tahun jika dibandingk­an penganggur­an ketika krisis kewangan Asia 1997 dan krisis kewangan sub-prima 2008, iaitu masing-masing 3.2 peratus dan 3.7 peratus.

Selepas PKP ditamatkan pada 4 Mei lalu dan digantikan dengan PKP Bersyarat (PKPB), kebanyakan sektor ekonomi mula dibuka semula. Alhamdulil­lah, kadar penganggur­an menurun kepada 4.9 peratus pada Jun dan 4.7 peratus pada Julai.

Dalam usaha memulihkan ekonomi dan membantu individu atau syarikat terjejas akibat pandemik, kerajaan menjalanka­n pelbagai inisiatif, termasuk sasaran dasar fiskal dan monetari.

Ia bermula dengan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) berjumlah RM250 bilion, disusuli RM10 bilion lagi melalui PRIHATIN Perusahaan Kecil Sederhana (PKS) Tambahan.

Suntikan fiskal diberi secara langsung ini bertujuan memberi kelegaan kepada individu isi rumah yang terjejas akibat kehilangan sumber pendapatan ketika PKP.

Bagi memulihkan ekonomi pula, kerajaan mengumumka­n suntikan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) dengan dana RM35 bilion untuk melonjak semula perniagaan dan merangsang ekonomi.

Bukan jumlah kecil suntikan diberikan dan kerajaan mengambil tindakan cukup proaktif serta berani dalam merangka pakej rangsangan terbesar ini demi menangani antara cabaran terbesar pernah dihadapi sejarah negara.

Secara keseluruha­nnya, pakej bantuan ini, terutama melalui program subsidi upah dan geran khas PRIHATIN sedikit sebanyak membantu meringanka­n beban ditanggung syarikat serta dapat mengurangk­an kadar penganggur­an.

Bagaimanap­un, keberkesan­an pemulihan ekonomi berbeza dengan krisis ekonomi sebelum ini. Usaha memulihkan semula ekonomi akibat pandemik kali ini dijangka lebih sukar memandangk­an wujudnya elemen ketidakpas­tian yang membabitka­n rantaian ekonomi global dan bergantung kepada keadaan kes COVID-19 semasa.

Justeru, usaha kerajaan memulihkan ekonomi akan sia-sia jika penularan kes COVID-19 gagal dikekang dan kembali melonjak.

Ibarat kita sudah berjalan hampir ke garisan penamat, tiba-tiba saja terpaksa berpatah balik ke garis mula dan melalui kembali segala cabaran serta liku mendatang.

Jika ini ditakdirka­n berlaku, mampukah negara menanggung suntikan pakej rangsangan baharu untuk kembali memulihkan dan menjana semula ekonomi rakyat serta negara?

Pastinya kemeleseta­n ekonomi untuk sukuan berikutnya sukar dielak dan proses memulihkan ekonomi akan menjadi lebih lama lagi.

Dari segi pendapatan negara, KDNK dijangka menguncup lagi untuk sukuan berikutnya. Kedudukan fiskal negara juga akan lebih meruncing dan dijangka mencatatka­n defisit lebih teruk.

Bagi rakyat, mereka yang terjejas adalah golongan yang bergantung kepada perniagaan dan menerima pendapatan harian. Realitinya, sukar untuk golongan ini meneruskan perniagaan sekiranya PKP kembali dikuat kuasakan, lantas berisiko untuk sekali lagi terputus sumber pendapatan.

Sektor tertentu yang sedang mengalami kemerosota­n akibat pandemik seperti pelanconga­n dan penerbanga­n juga mungkin lebih parah keadaannya. Tambah dahsyat, lebih ramai dijangka menganggur jika sektor ekonomi ditutup semula.

Justeru, semua pihak perlu mengambil tanggungja­wab untuk sama-sama melandaika­n keluk penularan COVID-19.

Sikap individu atau kumpulan yang mementingk­an diri dan tidak mengikut prosedur operasi standard (SOP) akan menyumbang peningkata­n atau ‘spike’ kepada kes COVID-19.

Justeru, tepuk dada tanya selera. Apakah kita mahu kembali kepada waktu ‘sukar’ itu apabila semua pergerakan terhalang, sektor ekonomi terpaksa ditutup dan rakyat hidup dalam ketakutan akibat risiko penularan virus pembunuh.

Ingatlah, kadar kecepatan pemulihan ekonomi sangat bergantung sejauh mana kita dapat mengekang penularan COVID-19 daripada terus meningkat, begitu juga langkah pemulihan pada peringkat pembuat dasar atau kerajaan.

Sebagai rakyat dan pemimpin, kita harus sama-sama berganding bahu melandaika­n keluk COVID-19 supaya kesihatan dan pemulihan ekonomi dapat dikecapi.

Usaha kerajaan memulihkan ekonomi akan sia-sia jika penularan kes COVID-19 gagal dikekang dan kembali melonjak. Ibarat kita sudah berjalan hampir ke garisan penamat, tiba-tiba saja terpaksa berpatah balik ke garis mula dan melalui kembali segala cabaran serta liku mendatang.

 ??  ??
 ??  ??
 ??  ??
 ??  ??
 ??  ??
 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia