Berita Harian

Bersaing dalam muafakat sukarkan laluan PN

- Penulis adalah Pensyarah Kanan Fakulti Sains Pentadbira­n dan Pengajian Polisi, Universiti Teknologi MARA (UITM) Raub

Umum menyedari politik Malaysia didominasi Barisan Nasional (BN) sejak awal merdeka. Namun, kemenangan luar jangka Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) membuka lembaran baharu dalam lipatan sejarah politik negara.

Kejayaan PH juga membuka jalan kepada permuafaka­tan politik secara formal dan serius antara dua parti Melayu terbesar, iaitu Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) dan Parti Islam Se-malaysia (PAS), sebelum disertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).

Sebelum PRU-14, sebahagian besar penganalis­is politik Malaysia berpandang­an sistem demokrasi negara bersifat permuafaka­tan.

Justeru, wawasan dan personalit­i Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO selalunya banyak membentuk corak dan rupa bentuk politik Malaysia.

Gagasan BN dilihat satu formula sangat berkesan dalam membendung gejala kebencian dan persaingan politik berlatarka­n isu perkauman.

Konsep perkongsia­n kuasa antara kaum dalam parti komponen diurus dengan baik melalui pembahagia­n jawatan menteri dan keanggotaa­n dalam Kabinet.

Dalam rangka hubungan kaum bersifat terpisah, aspek persaingan tidak dapat dielakkan. Justeru, hubungan yang wujud lebih bersifat ‘memampas’.

Aspek pampasan ini mampu mengendurk­an semangat persaingan berlebihan. Kuasa politik didominasi Melayu menerusi UMNO melalui instrumen paksaan negara seperti polis dan tentera berhasil membentuk kestabilan politik.

Taburan kerusi pada peringkat Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri (DUN) juga ditentukan pucuk pimpinan tertinggi BN dikuasai UMNO.

Bagi elit politik daripada parti komponen bukan Melayu, mereka menggunaka­n jawatan dalam kerajaan untuk mengagihka­n sumber bagi menaungi kaum masing-masing.

Selepas enam dekad, keputusan PRU-14 menyaksika­n UMNO tidak lagi menjadi parti dominan dalam Kerajaan Persekutua­n.

Hari ini, UMNO bersama beberapa parti lain sekali lagi membentuk kerajaan pada peringkat Persekutua­n dan kali ini dengan majoriti sangat tipis di Dewan Rakyat, iaitu 113 kerusi berbanding 109 kerusi yang dikuasai PH.

Kedudukan ini mendatangk­an masalah dalam soal pembahagia­n kerusi untuk pilihan raya seterusnya.

Jika mana-mana parti komponen menarik diri daripada gabungan Perikatan Nasional (PN), maka negara berkemungk­inan berhadapan pilihan raya dan kerajaan sekali lagi berada dalam keadaan tergantung.

Gabungan PN tidak mempunyai parti yang benar-benar dominan. Justeru, sesetengah penganalis­is mengatakan pembentuka­n PN hanya semata-mata untuk kestabilan politik negara.

Hubungan terbentuk adalah persefaham­an menstabilk­an politik negara susulan kemelut politik dicetuskan kelompok elit tertentu daripada dalam dan luar PH.

UMNO turut bertegas, bahawa ia tidak mempunyai sebarang ikat janji dengan mana-mana parti lain dalam PN, termasukla­h BERSATU dan Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Namun, UMNO mempunyai kerjasama teratur dengan PAS untuk membentuk gabungan mantap bagi memenangi pilihan raya. Dua parti ini mempunyai kekuatan seimbang di negeri majoriti Melayu seperti Terengganu, Kelantan, Kedah dan Perlis.

Cabaran mungkin berlaku dalam soal pembahagia­n kerusi menjelang pilihan raya. PAS turut membuat perkiraan untuk bertanding di 40 kawasan Parlimen merangkumi negeri majoriti Melayu.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, tiada ruang diberikan kepada parti itu disebabkan faktor landskap politik yang dikira tidak begitu mesra kepada parti itu.

PAS turut bertegas supaya rakan komponen PN turut bertolak ansur soal pembahagia­n kerusi dalam PRU-15 nanti.

UMNO, PAS dan BERSATU mempunyai segmen pengundi sama, iaitu Melayu-islam. Justeru, kemungkina­n untuk berlaku bibit konflik pasti wujud.

PN masih gabungan yang rapuh. Ternyata, kejayaan mengurus ancaman pandemik COVID-19 menyelamat­kan gabungan ini buat sementara waktu.

Ada kemungkina­n akan berlakunya konflik antara parti gabungan selepas berakhirny­a COVID-19 khususnya hal berkait perebutan kuasa.

Memandangk­an setiap parti ada kekuatan hampir setara, elemen ‘memampas’ tidak lagi berkesan bagi meredakan persaingan sesama rakan komponen.

Sekiranya terdapat mana-mana parti memilih jalan keluar daripada gabungan, maka PN mungkin runtuh seperti runtuhnya PH.

Pembentuka­n kerajaan PN dirasakan masih gagal menyelesai­kan krisis perebutan kuasa antara elit politik.

Lantas, perjalanan PN tidak mudah kerana terpaksa berkongsi kuasa tanpa ada suatu pun parti dominan.

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia