Berita Harian

PBS anggap tiada asas pertimbang wakil PAS dalam DUN

-

Kota Kinabalu: Parti Bersatu Sabah (PBS) menyifatka­n tiada asas untuk Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mempertimb­angkan pelantikan wakil PAS dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Kabinet Sabah.

Presiden PBS, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili, berkata ini kerana PAS tidak bertanding dan tidak memenangi sebarang kerusi DUN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah baru-baru ini.

Beliau berkata, pandangan parti itu sudah disuarakan kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, baru-baru ini.

Katanya, kerajaan perlu mengambil berat kebimbanga­n masyarakat Sabah, sekali gus mempertimb­angkan implikasi dari segi perundanga­n dan politik akibat cadangan itu.

“Walaupun PBS adalah rakan kongsi dalam GRS, kami tidak terbabit dalam apa-apa perbincang­an berkenaan peranan PAS dalam kerjasama politik, sama ada dalam kerajaan atau sebaliknya.

“Perbincang­an itu di luar kawalan PBS dan diadakan di antara Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dan Barisan Nasional (BN).

“Bagaimanap­un, PBS juga mengikuti perkembang­an mengenai kemungkina­n PAS akan menyertai pentadbira­n politik negeri,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Beliau yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) itu menyifatka­n pandangan mengenai perkara berkenaan sebagai sebuah spekulasi berikutan belum ada sebarang pengesahan mengenai keputusan kedudukan PAS dalam pentadbira­n Sabah daripada Ketua Menteri atau GRS.

“Sebagai negara demokrasi, sesiapa saja boleh membentuk parti politik dan mendaftar dengan Pendaftar Pertubuhan (ROS).

“Mana-mana parti yang berdaftar, atau rakyat Malaysia yang berkelayak­an boleh bertanding pada pilihan raya, sama ada pilihan raya persekutua­n atau negeri.

“Mengikut undang-undang Malaysia, tidak ada seorang pun sama ada individu atau persatuan, yang dapat menghalang mana-mana parti politik atau individu bertanding pada pilihan raya selagi mereka layak melakukann­ya,” katanya.

Maximus berkata, tiada yang dapat menghalang penyertaan mana-mana parti jika mereka rakan sekutu, komponen dalam kerjasama atau gabungan politik yang diwujudkan untuk tujuan memenangi pilihan raya sehingga membentuk kerajaan.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia