Berita Harian

Peniaga tak sertai e-dagang berisiko ‘tutup kedai’

Lebih 50 peratus rakyat beralih kepada pembelian dalam talian

- Oleh Ilah Hafiz Aziz illahhafiz.abdulaziz@bh.com.my

Kuala Lumpur: Sebilangan besar pemilik premis perniagaan yang hanya menjual barangan secara fizikal berisiko ‘tutup kedai’ kerana gagal mengikuti perubahan sikap sebahagian besar rakyat Malaysia yang suka membeli secara dalam talian.

Ketika ini, lebih 50 peratus rakyat dikesan sudah menukar proses pembelian secara dalam talian, namun hanya tujuh peratus peruncit dan pemborong yang menjual pelbagai barangan di dalam negara mempunyai keupayaan menyediaka­n platform e-dagang kepada pelanggan.

Menurut Kajian Pasaran Bagi Sektor Perkhidmat­an di Malaysia oleh Suruhanjay­a Persaingan Malaysia (MYCC), walaupun Malaysia mempunyai lebih 460,000 peruncit dan pemborong aktif, hanya sebilangan kecil mempunyai keupayaan memproses jual beli dalam talian.

Situasi ini dilihat mampu merencatka­n pertumbuha­n ekonomi negara memandangk­an hampir 50 peratus rakyat sudah berubah kepada pembelian dalam talian yang dikesan lebih rancak selepas COVID-19 berlaku.

Ketua Pegawai Eksekutif MYCC, Iskandar Ismail, berkata hasil kajian pasaran menunjukka­n rakyat Malaysia kini beralih sikap daripada cara pembelian konvension­al kepada pembelian dalam talian.

Katanya, punca utama perubahan itu disebabkan masyarakat menyukai urusan yang mudah, malah tidak lokek mengeluark­an sedikit kos tambahan seperti bayaran penghantar­an selagi ia menyenangk­an urusan mereka.

Bagaimanap­un, beliau berkata, ia tidak selari dengan keadaan pasaran apabila hanya sebilangan kecil mempunyai keupayaan dalam platform e-dagang.

“Masyarakat hari ini tidak lagi suka ke kedai membeli barang kerana mereka lebih senang melihat barangan itu sampai di hadapan mereka, malah ada yang pergi semata-mata melihat kualiti barangan, tetapi membelinya dalam talian. Inilah perubahan sikap pelanggan yang dikesan sekarang.

“Namun, kajian pasaran oleh

MYCC mendapati, hanya tujuh peratus peruncit dan pemborong dalam negara bersedia ke arah itu,” katanya.

Seramai 469,024 peruncit dan pemborong direkodkan MYCC pada 2018, namun ia mungkin lebih ramai pada tahun ini, berikutan berlaku peningkata­n 20 peratus sejak 2013.

Iskandar berkata, implikasi kegagalan menyediaka­n platform e-dagang itu mengakibat­kan mereka tertinggal dan lebih buruk, banyak kedai menjual barangan secara fizikal tidak mampu bersaing dan terus tutup.

“Kami dapati kebanyakan mereka lebih percaya dalam perkhidmat­an secara ‘brick and mortar’ iaitu lebih suka pembeli datang kepada mereka dan berurusan secara langsung. Mereka tidak mempedulik­an perubahan sikap pembelian pelanggan, sebaliknya hanya meneruskan cara konservati­f.

“Malah kita dapati mereka langsung tidak bersedia dengan perubahan semasa seperti tiada jaringan internet dan tidak mengenali proses e-dagang. Mereka fikir penyediaan untuk perkara ini membabitka­n kos tinggi, sebaliknya mereka tidak sedar, ia mampu memberikan pulangan baik,” katanya.

Iskandar berkata, kerajaan perlu melakukan sesuatu untuk membantu pemborong dan peruncitan yang belum terbabit dalam e-dagang bagi merancakka­n ekonomi negara.

“Sektor pemborong dan peruncitan negara penting dalam pertumbuha­n Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) kerana sektor ini menyumbang hampir 30 peratus pendapatan dalam komponen sektor perkhidmat­an. Pada 2018, sektor ini menggaji dua juta rakyat.

“Sekiranya ramai masih gagal mengikuti perubahan sikap pembeli dan perkembang­an arus semasa, ia bakal menjejaska­n semua pihak, termasuk kerajaan dan rakyat,” katanya.

Masyarakat hari ini tidak lagi suka ke kedai membeli barang kerana mereka lebih senang melihat barangan itu sampai di hadapan mereka.

Iskandar Ismail,

Ketua Pegawai Eksekutif MYCC

 ??  ??
 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia