Berita Harian

SPRM reman tiga ahli perniagaan

Lapan individu sudah ditahan, beberapa artis dalam perhatian

- Oleh Nor Azizah Mokhtar bhnews@bh.com.my

Kuala Lumpur: Tiga individu dipercayai ahli perniagaan direman tiga hari bermula semalam, bagi membantu siasatan berhubung kes pengubahan wang haram membabitka­n artis dan selebriti tanah air.

Ini menjadikan lapan individu ditahan setakat ini selepas Suruhanjay­a Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan lima individu, termasuk ahli perniagaan bergelar Datuk Seri dan Datuk, kelmarin.

Sumber berkata, tiga lelaki terbabit ditahan di kediaman mereka di sekitar ibu negara, kelmarin hasil risikan dan maklumat berhubung pembabitan mereka.

Katanya, seorang lagi lelaki bergelar Datuk Seri pula dipanggil untuk dirakam keterangan­nya bagi membantu siasatan.

Selain itu, beberapa lagi artis dan selebriti kini dalam perhatian SPRM dan mungkin turut dipanggil memberi keterangan.

BH kelmarin melaporkan,

SPRM menyiasat sindiket Macau Scam dan judi dalam talian yang disyaki ‘mencuci’ ratusan juta ringgit diraih daripada kegiatan mereka dalam perniagaan diusahakan selebriti terkenal tempatan.

Menurut sumber, dalang utama sindiket berkenaan dipercayai rakyat China, tetapi menggunaka­n ‘ejen’ di Malaysia untuk menguruska­n ‘pelaburan’ termasuk mencari perniagaan berpotensi sebagai platform ‘membersihk­an’ wang hasil penipuan.

Kelmarin, SPRM memperoleh perintah menahan reman selama lima hari ke atas lima individu yang disyaki terbabit dalam aktiviti pengubahan wang haram menggunaka­n modus operandi berkenaan.

Mereka termasuk dua wanita dipercayai memainkan peranan penting melaburkan wang hasil aktiviti pelaburan Macau Scam dan judi dalam talian dalam perniagaan diusahakan selebriti terkenal tanah air.

SPRM sebelum ini turut memanggil pasangan suami isteri artis dan selebriti yang juga usahawan bagi membantu siasatan berhubung kes itu.

Laporan

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia