Berita Harian

Kes rogol, bunuh gadis, 5 pegawai kanan polis India digantung tugas

-

New Delhi: Lima pegawai kanan polis digantung tugas kerana cuba memanipula­si siasatan kes rogol berkumpula­n dan pembunuhan wanita berusia 19 tahun.

Wanita dari kasta rendah Dalit itu, yang dirogol empat lelaki kasta tinggi, maut selepas seminggu dimasukkan ke sebuah hospital dekat New Delhi kerana mengalami kecederaan parah, sekali gus mencetuska­n kemarahan di India.

Ia mencetuska­n tunjuk perasaan di kampung mangsa di Uttar Pradesh, utara India, sebelum merebak ke negeri berdekatan dan berlanjuta­n sehingga sekarang.

Berikutan itu, polis menahan empat lelaki kasta tinggi atas tuduhan merogol dan membunuh.

Namun, polis dikecam hebat kerana memaksa keluarga mangsa membakar mayat pada tengah malam secara tergesa-gesa walaupun dibantah keluarga.

Khamis lalu, seorang pegawai kanan polis mencetuska­n kemarahan apabila mendakwa wanita itu tidak diperkosa berdasarka­n laporan forensik dan bedah siasat.

Dakwaan polis itu bertentang­an dengan kenyataan mangsa dan ibu mangsa serta laporan penemuan hospital, selain pakar mempersoal­kan kenapa ujian forensik mengambil masa begitu lama untuk diumumkan.

Ratusan polis turut mengawal kampung itu bagi menghalang keluarga mangsa meninggalk­annya, selain melarang wartawan dan ahli politik pembangkan­g bercakap dengan mereka, malah telefon bimbit turut dirampas.

Abang mangsa memberitah­u satu saluran berita di India bahawa keluarga bimbang nyawa mereka terancam, sekali gus mendorong Mahkamah Tinggi memerintah­kan pihak berkuasa memberi perlindung­an kepada keluarga itu.

Kelmarin, Ketua Menteri Uttar Pradesh, Yogi Adityanath, mengumumka­n penggantun­gan ketua polis daerah Hathras dan empat pegawai lain.

Dalam tunjuk perasaan terbaru pada petang semalam, sekitar 500 orang termasuk ketua menteri dan ahli politik Dalit berkumpul di tengah New Delhi untuk menuntut keadilan.

Kematian remaja itu berlaku beberapa bulan lalu selepas empat lelaki dihukum gantung kerana merogol dan membunuh seorang pelajar pada 2012 dalam sebuah bas di New Delhi.

 ?? (Foto AFP) ?? Tunjuk perasaan memuncak di New Delhi, India bagi menuntut keadilan untuk seorang wanita kasta rendah yang maut selepas dirogol empat lelaki kasta tinggi.
(Foto AFP) Tunjuk perasaan memuncak di New Delhi, India bagi menuntut keadilan untuk seorang wanita kasta rendah yang maut selepas dirogol empat lelaki kasta tinggi.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia