Berita Harian

India sudah catat lebih 100,000 korban

-

Kakitangan perubatan

New Delhi: Jumlah kematian akibat COVID-19 di India melepasi 100,000 orang semalam, ketika pandemik terus pantas menular di negara yang berpendudu­k kedua tertinggi di dunia itu.

Data Kementeria­n Kesihatan India merekodkan 100,875 kematian, meletakkan negara itu di tempat ketiga dari segi jumlah kematian akibat virus berkenaan selepas Amerika Syarikat (AS) dan Brazil.

India turut merekodkan 6.47 juta kes jangkitan dan dijangka melepasi AS sebagai negara mencatatka­n jumlah kes tertinggi beberapa minggu lagi.

Penduduk India yang mencecah 1.3 bilion, empat kali lebih besar berbanding AS yang mencatatka­n jumlah kematian dua kali ganda lebih banyak, mencetuska­n persoalan mengenai kesahihan data rasminya.

Pakar virologi, T Jacob John, memberitah­u AFP bahawa pihaknya tidak pasti dengan kesahihan kadar kematian di India.

“India tidak memiliki sistem pemantauan kesihatan awam yang merekodkan penyakit dan kematian pada waktu sebenar, manakala ujian yang dijalankan juga tidak dibuat secara meluas,” katanya.

Walaupun India melaksanak­an kira-kira sejuta ujian saringan sehari, kadarnya masih rendah berbanding negara lain berdasarka­n jumlah pendudukny­a yang tinggi.

Sebagai contoh, AS membuat ujian saringan lima kali ganda lebih banyak berbanding India, berdasarka­n statistik laman sesawang Worldomete­r.

Angka sebenar di India dipercayai mungkin lebih tinggi berbanding data rasmi berdasarka­n beberapa kajian yang mengukur antibodi terhadap virus itu dalam kalangan penduduk.

Selasa lalu, agensi kawalan pandemik India menerbitka­n hasil tinjauan yang menunjukka­n lebih 60 juta penduduk iaitu 10 kali ganda lebih tinggi berbanding jumlah rasmi, mungkin sudah dijangkiti virus itu.

Pada peringkat global, jangkitan COVID-19 kini menghampir­i 35 juta mangsa dengan pertambaha­n lebih 323,000 kes baharu dalam tempoh 24 jam.

Data terbaru menunjukka­n AS kekal sebagai negara paling teruk terjejas dengan 7.5 juta kes, diikuti India dengan 6.4 juta kes, manakala Brazil merekodkan 4.8 juta kes.

Di Russia pula, jumlah jangkitan mencecah 1.18 juta manakala Colombia, Peru, Sepanyol, Mexico, Argentina, Afrika Selatan dan Perancis mencatat angka melebihi 600,000 kes.

Sementara itu, statistik sama menunjukka­n angka korban di seluruh dunia setakat ini adalah 1.03 juta orang.

Jumlah kumulatif individu yang maut akibat COVID-19 di AS saja mencecah 213,524 orang, manakala Brazil di tempat kedua dengan 145,431 orang.

India dan Mexico juga terus mencatat pertambaha­n kes kematian dengan masing-masing merekod sebanyak 100,875 korban dan 78,492 kes.

Negara lain masih merekodkan angka korban di bawah 50,000 kes. AGENSI

 ?? (Foto AFP) ?? melakukan saringan COVID-19 di Mumbai.
(Foto AFP) melakukan saringan COVID-19 di Mumbai.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia