Berita Harian

Tindakan tegas tarik lesen, tutup premis

-

Putrajaya: Orang awam terus diingatkan bahawa negara masih berada dalam Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) berikutan penularan COVID-19.

Menteri Kanan (Keselamata­n), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, menegaskan walaupun banyak kelonggara­n diberi kepada industri dan aktiviti ekonomi ketika pelaksanaa­n PKPP, kegiatan pusat hiburan seperti bar serta kelab malam belum dibenarkan.

Justeru, beliau berkata, pihaknya meminta pihak berkuasa tempatan (PBT) mengambil tindakan lebih tegas termasuk menarik balik lesen perniagaan dan menutup premis yang didapati menganjurk­an aktiviti hiburan tanpa kebenaran itu.

“PKPP masih dilaksanak­an serta berkuat kuasa, dan tindakan polis adalah lebih tegas daripada biasa. Oleh itu, kita melihat seramai 674 individu ditahan atas kesalahan mengingkar­i PKPP semalam (kelmarin).

“Kesalahan berkenaan termasuk 325 individu ditahan kerana terbabit aktiviti di pusat hiburan. Ramai lagi nampaknya masih melakukan kesalahan berkaitan pusat hiburan ini,” katanya pada sidang media, di sini, semalam.

Selain itu, beliau berkata, seramai 170 individu ditahan kerana tidak memakai pelitup muka, gagal menyediaka­n peralatan atau merekod butiran diri (80) dan kesalahan berhubung penjarakan fizikal (53).

Selain itu katanya, seramai 22 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan, manakala tujuh ditahan kerana melanggar syarat PKPP dengan membawa lebih daripada dua penumpang, menyalahgu­nakan pas sosial (tujuh), premis beroperasi melebihi masa (empat), keluar rumah tanpa alasan munasabah di kawasan PKP Diperketat­kan Bersasar (PKPDB) (empat) dan premis beroperasi tanpa lesen sah (dua).

“Daripada jumlah itu, 583 individu dikompaun, manakala 91 lagi direman,” katanya.

Ismail Sabri berkata, pihak berkuasa juga menahan 80 PATI menerusi Operasi Benteng kelmarin, selain merampas masing-masing sebuah bot dan kenderaan darat.

Daripada jumlah itu, katanya, 23 tangkapan dilakukan Rejimen Pertama Kor Armor Diraja di sekitar kawasan hutan Pantai Pasir Logok, FELDA Tenggaroh 12, Ladang Pasir Logok, Kota Tinggi, di Johor kerana memasuki Malaysia melalui jalan tidak diwartakan.

Beliau turut memaklumka­n, sebanyak 136 sekatan jalan raya Operasi Benteng diadakan di seluruh negara oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM).

“Semalam (kelmarin), 28 operasi sanitasi dilaksanak­an di enam Zon Merah, lapan Zon Kuning dan lapan Zon Hijau di 10, negeri, iaitu Sabah tujuh, Kedah lima, Pulau Pinang empat, Terengganu tiga, Sarawak tiga dan masing-masing satu di Perlis, Melaka, Perak, Pahang, Negeri Sembilan serta Putrajaya,” katanya.

Setakat ini, Ismail Sabri berkata, 270 kertas siasatan sudah dibuka PDRM serta Suruhanjay­a Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) berhubung berita palsu berkaitan COVID-19.

Beliau berkata, jumlah itu meliputi 133 kes masih dalam siasatan, sudah didakwa di mahkamah (35), mengaku bersalah (19) dan diberikan notis amaran (12).

Katanya, penguatkua­saan aktif juga sedang dilaksana berdasarka­n laporan awam yang diterima.

“Pada masa sama, 388 penafian serta penjelasan mengenai berita palsu sudah dibuat kepada orang ramai oleh Pasukan Respons Pantas (PRP) Kementeria­n Komunikasi dan Multimedia yang ditubuhkan bagi membantu membendung penyebaran berita palsu berkaitan COVID-19,” katanya.

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia