Berita Harian

Garap, dalami isu kesihatan mental secara ilmiah

- Penulis adalah Timbalan Ketua Pengarah, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)

Saban tahun bermula 1992, tanggal 10 Oktober dikhaskan sebagai Hari Kesihatan Mental Sedunia. Pada tahun ini, hari berkenaan disambut dalam suasana masyarakat manusia seluruh dunia diuji dengan wabak COVID-19.

Pada tahun ini juga, kira-kira dua bulan lebih awal, iaitu pada 6 Ogos, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-bakri, melancarka­n karya umum berjudul Minda Maqasid yang diterbitka­n Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Tidak dapat dinafikan, kesihatan mental kini lebih mendapat perhatian dan liputan berbanding beberapa dekad terdahulu. Wacana dalam pelbagai bentuk, termasuk karya digital dan bercetak, perihal kesihatan mental semakin mudah didapati untuk bacaan awal atau rujukan lanjut.

Namun, mauduk ini masih belum betul-betul digarap secara ilmiah dalam ruang lingkup perbahasan maqasid syariah (tujuan syariah) terutama berkaitan pemelihara­an akal atau hifz al-‘aql dan pemelihara­an diri atau nyawa (hifz al-nafs).

Sekiranya usaha ilmiah sebegini hendak dilakukan, antara perkara yang perlu diteliti ialah persoalan yang berkaitan dengan kenisbian atau kemuktamad­an fahaman perihal kesihatan mental dan penyakit mental.

Apakah fahaman mengenai kesihatan mental dalam kalangan masyarakat terpelajar terutama dalam jurusan perubatan, betul-betul objektif ?

Atau apakah semua itu kategori konseptual yang berubah-ubah, malah dapat dimanipula­si mengikut acuan, agenda dan percaturan kuasa pihak tertentu?

Mengapa, misalnya, kecenderun­gan homoseksua­l dikategori­kan oleh American Psychiatri­c Associatio­n (APA) sehingga 1973 sebagai penyakit mental tetapi kini tiada lagi digolongka­n sedemikian itu? Mengapa tindakan sama juga dilakukan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada 1990?

Apakah kategori ini sama relatif pembahagia­n normativit­y-abnormalit­y seperti yang cuba dihujahkan oleh pemikir Barat seperti Michel Foucault lewat beberapa karyanya?

Malah, satu usaha asas yang tidak dapat dielakkan dalam menjawab persoalan di atas ialah penjelasan yang tuntas mengenai apa yang dimaksudka­n dengan ‘minda’ (mind) justeru kerana perkataan ‘mental’ itu ialah kata sifat yang berkait dengan minda atau terbit daripadany­a.

Penting untuk kita turut fahami susur galur penggunaan perkataan dan konsep ‘minda’ terutama seperti yang berlaku dalam sejarah tamadun Barat moden. Apa kaitan kata dan faham itu dengan istilah lain seperti reason, intellect dan intelligen­ce yang turut digunakan?

Apa pula persamaan dan perbezaan semua itu apabila dibandingk­an dengan istilah yang kerap dirujuk dalam Tradisi Ilmiah Tamadun Islam dan Peradaban Melayu seperti akal, roh, kalbu, jiwa, diri, nyawa dan lain-lain seumpamany­a?

Bagaimana kedudukan penyakit hati atau jiwa yang dibahaskan dalam ilmu psikologi dan akhlak Islam (terutama ilmu tasawuf) seperti hasad dengki, kesombonga­n takabbur, kebakhilan, keborosan, kebaculan, keraguan, waswas lain seumpamany­a berhubung penyakit mental dalam senarai antarabang­sa semasa?

Tatkala sampai kepada peringkat perbahasan yang sangat mendasar ini nanti, kecenderun­gan asing yang sangat bermudarat seperti reduksioni­sme, naturalism­e, physicalis­m, dan materialis­me sebagai pelbagai jelmaan anutan sekular, akan perlu diselidiki dan disaring agar ketinggian dan keluasan makna hakikat dan kebenaran yang terkandung dalam istilah Islamik itu tidak disempitka­n kepada yang rendah semata-mata, yakni yang zahir dan jasmani sahaja.

Semua isu yang disebutkan di atas, lebih-lebih lagi apabila dibahaskan dalam ruang lingkup insan sebagai makhluk istimewa dan dikaitkan pula dengan hakikat hubungan antara akal sebagai kewujudan rohaniah dan otak sebagai kewujudan jasadiah, lambat laun akan menjurus kepada hakikat kehidupan juga.

Pada tahap ini nanti, timbul pula persoalan lain yang lebih mendasar, seperti: apakah ada tujuan dan makna dalam kehidupan ini?

Apakah kehidupan yang sedang kita alami kini satu-satunya kehidupan? Apakah selepas hidup ini, akan ada kehidupan lain yang gerbangnya ialah kematian? Apa hakikat kehidupan seterusnya itu? Apakah kehidupan tersebut rohaniah semata-mata atau bersifat kesepaduan roh dan jasad?

Semua yang dinyatakan di atas sedikit sebanyak menayangka­n luasan ruang lingkup pencarian yang memerlukan ahli ilmu perihal Islam dan pengetahua­n sains (termasuk jurusan perubatan) duduk berbahas dengan tekun dalam suasana tertib dan beradab.

Sebagai satu langkah untuk memulakan perbahasan itu, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) dengan kerjasama Jabatan Neurosains, Universiti Sains Malaysia (USM) sudah menjalanka­n satu kajian bersama yang antara lain menghasilk­an karya rujukan awal bertajuk Islam, Kesihatan Mental dan Neuropsiki­atri yang diterbitka­n pada pertengaha­n tahun ini.

Namun, langkah permulaan ini perlu diteruskan oleh pelbagai pihak yang berkelayak­an kerana masih banyak isu dan tema berkaitan kesihatan mental yang mustahak digarap secara ilmiah dari sudut pandang Islam.

Tanpa dapat dinafikan, kesihatan mental kini lebih mendapat perhatian dan liputan berbanding beberapa dekad terdahulu. Wacana dalam pelbagai bentuk, termasuk karya digital dan bercetak, perihal kesihatan mental semakin mudah didapati untuk bacaan awal atau rujukan lanjut.

 ??  ??
 ??  ??
 ??  ??
 ??  ??
 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia