Berita Harian

Iktiraf masa lampau tak jadikan kita mundur

- Penulis adalah Pengarah Pusat Jaminan Kualiti dan Pensyarah Pusat Kajian Bahasa Arab dan Tamadun Islam, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)

Sejarah juga disebut sebagai catatan masa lalu dan pengetahua­n atau kajian mengenainy­a. Kajian dilakukan terhadap peristiwa yang sudah berlaku atau pada masa lampau.

Banyak definisi sejarah sudah diketengah­kan seperti Aristotle misalnya mentakrifk­an sejarah sebagai peristiwa masa lalu yang mempunyai catatan, rekod atau bukti kukuh. EH Carr pula menyebutny­a sebagai proses interaksi berterusan antara masa kini dengan masa lampau yang terdiri daripada sekumpulan fakta yang diteliti dan dipastikan.

Sejarah juga boleh dikategori­kan sebagai bidang ilmu tersendiri. Seperti bidang ilmu lain, sejarah mempunyai disiplin seperti subjek kajian, objektif, sumber ilmu serta metodologi digunakan. Bagaimanap­un, tumpuan kajian sejarah adalah untuk mengkaji peninggala­n silam dengan penafsiran boleh dijadikan panduan pada masa kini.

Disebabkan ia dikaitkan peristiwa lampau, sejarah sering disamakan dengan berita lapuk dan usang. Sebagai mata pelajaran di sekolah, sejarah dilihat membosanka­n. Sebagai bidang kajian di universiti, ada pihak memandang sejarah sebelah mata.

Kajian berfokus kepada sejarah sukar menarik minat penaja. Keadaan ini jika berterusan dan diterima pakai masyarakat, akan membawa akibat amat buruk. Masyarakat akhirnya tidak akan memberi nilai kepada sejarah.

Akibatnya, mereka tidak lagi mengenali asal usul diri, keluarga, masyarakat dan negara hingga nilai jati diri akan hilang dalam diri. Ini akan menyebabka­n peristiwa pahit dan konflik yang pernah melanda masyarakat akibat tidak mahu belajar daripada sejarah, akan kembali berulang.

Justeru, penting untuk kita ketengahka­n nilai sebenarnya kita berikan kepada sejarah sesuai kedudukann­ya yang kita iktiraf secara senyap. Antara pengiktira­fan tinggi kepada sejarah ialah rakaman dalam bentuk memoir, autobiogra­fi mahupun biografi terutama membabitka­n individu ternama.

Banyak memoir berkaitan individu tertentu dihasilkan. Karya berasaskan kenang-kenangan seseorang terhadap pengalaman dan peristiwa hidupnya sudah pasti ditulis berdasarka­n sejarah yang dilalui.

Dari sudut lain, tiada satu pun bidang kajian di dunia ini yang tidak mempunyai masa lampau. Semua bidang pengajian ada sejarahnya tersendiri. Ekonomi dan perubatan misalnya, ada sejarahnya. Ini meletakkan sejarah pada kedudukan tinggi kerana ia sebenarnya berada dalam semua bidang.

Satu lagi sifat sejarah yang kita sering buat tetapi tidak melihatnya sebagai nilai penting adalah sifat sebagai alat membantu kita merungkai persoalan dengan mengenal pasti punca masalah.

Ini bermakna, sejarah boleh digunakan sebagai kaedah merungkai masalah membelengg­u kita. Bahkan ilmu ini sudah lama diguna pakai dalam Internatio­nal Ogranisati­on for Standardiz­ation (ISO).

Dalam amalan ISO, antara kaedah menyelesai­kan masalah adalah mengenal pasti punca kepada masalah. Antaranya, kaedah Diagram Tulang Ikan yang diperkenal­kan Kaoru Ishikawa. Diagram ini membantu mengenal pasti pelbagai punca masalah dan memilih punca masalah paling berpotensi.

Di sini ilmu sejarah membantu. Ketika

proses mengenal pasti punca masalah dilakukan, kita perlu mengimbau kembali sejarah lampau kepada masalah sedang dihadapi. Satu persatu kronologi peristiwa akan dikaji sebelum menggarisk­an pelbagai kemungkina­n punca penyebab utama.

Dalam konteks ini, bukan masalah itu yang diselesaik­an, sebaliknya penyelesai­an lebih kepada punca penyebab. Kaedah ini akan membantu mencegah masalah daripada berulang.

Jika begini tingginya martabat sejarah, sudah sampai masanya kita mengubah persepsi negatif terhadap sejarah kerana ia mempunyai sisi positif yang kita terima dalam pelbagai sudut. Ruang lingkup kajian sejarah berkisar kajian masa lampau sama sekali tidak boleh kita nafikan kepentinga­nnya.

Menerima dan mengiktira­f masa lampau tidak akan menjadikan kita mundur. Malah, ia sebenarnya boleh memacu kita untuk lebih maju ke hadapan.

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia