Berita Harian

Usahawan TVET ‘wira’ ketika COVID-19

- Muhammad Amirul Firdaus Buang, Pejabat Timbalan Menteri Pengajian Tinggi

Sedar atau tidak sebenarnya Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) menjadi wira ketika COVID-19 melanda negara dengan memenuhi keperluan masyarakat setempat.

Pendekatan awal bidang keusahawan­an diterapkan di bangku persekolah­an dapat memberi impak begitu besar dalam kemahiran usahawan TVET ketika menghadapi cabaran dunia keusahawan­an dalam persekitar­an sosial mahupun fizikal.

Sejak penyebaran COVID-19 di serata dunia, banyak sekolah dan institusi terpaksa mengadakan sesi pembelajar­an dalam talian.

Berdasarka­n Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO), sehingga awal Oktober 2020, sejumlah 35 negara mengarahka­n sesi persekolah­an ditutup untuk memutuskan rantaian COVID-19 ini. Akibat penutupan itu, 580 juta anak muda seluruh dunia terkesan, termasuk di Malaysia.

Bagaimanap­un, kerajaan khususnya Kementeria­n Pengajian Tinggi giat turun padang dalam memberi sokongan serta penambahba­ikan bidang keusahawan­an dalam kalangan pelajar TVET daripada pelbagai sektor.

Pendekatan ini dapat memberi fokus dalam ekonomi moden iaitu melahirkan usahawan mencipta peluang pekerjaan serta memberi khidmat kepada masyarakat.

Ini seperti ditekankan Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Mansor Othman, melalui konsep ‘mencipta pekerjaan’ dan ‘universiti kepada komuniti’.

Satu kajian dibuktikan bahawa TVET mampu menggilap potensi modal insan keusahawan­an berbanding universiti.

Sebagai contoh, perkhidmat­an perniagaan yang hanya dilakukan secara dalam talian menghasilk­an pendapatan sangat tinggi dan ia menarik perhatian pelbagai pihak khususnya warga pendidik daripada kolej komuniti dan politeknik pelbagai negeri.

Seiring Pelan Pembanguna­n Pendidikan Malaysia 2015-2025 (Pendidikan Tinggi), ia berjaya melonjakka­n peranan dimainkan usahawan TVET dalam mengeluark­an produk tempatan yang boleh diguna pakai komuniti setempat.

Pada Ogos lalu, Program Business Opportunit­y through Social Media Competitio­n @MCO 2020 dianjurkan bagi menghargai semangat juang anak muda dalam meningkatk­an mutu usahawan TVET menuju persaingan yang sihat dalam kalangan pelajar.

Pelajar Politeknik Sultan Azlan Shah, Nur Hurul Aini Khairul Hisham, memperoleh tiga anugerah melalui program itu membabitka­n tempat pertama bagi Anugerah Pencapaian Jualan tertinggi dan masing-masing tempat kedua kategori Anugerah Pemasaran Video serta Anugerah Jualan Unit tertinggi.

Usahawan TVET dari pelbagai politeknik dan kolej komuniti mempunyai potensi besar dalam mencorakka­n pertumbuha­n ekonomi, khususnya bidang keusahawan­an seperti agensi lain yang dilantik kerajaan.

Satu model melahirkan graduan yang sesuai perlu dibentuk bagi menggabung jalin semua ejen sosialisas­i keusahawan­an untuk melihat impak dalam pembentuka­n niat keusahawan­an pelajar, seterusnya menjadi usahawan yang mampan.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia