Berita Harian

Penipu ‘cemari’ sektor inap desa

Kumpulan dikesan promosi di media sosial dengan tawaran harga 50 peratus lebih murah

- Oleh Ahmad Suhael Adnan ahmad.suhael@bh.com.my

Kuala Lumpur: Pembukaan semula sektor pelanconga­n domestik ketika Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), menyaksika­n kumpulan ‘scammer’ atau penipu mengambil kesempatan memperdaya orang ramai yang ingin bercuti bersama keluarga.

Beberapa scammer dikesan mempromosi dan mengiklank­an inap desa atau homestay milik orang lain, menerusi media sosial terutama Facebook, untuk disewakan pada harga yang terlalu murah berbanding harga asal.

Bendahari Pertubuhan Penginapan Kediaman Pelanconga­n Malaysia (MARTA), Mohammad Azmir Zahir Bakar, berkata kumpulan scammer itu dikesan aktif sejak kira-kira dua bulan lalu, dengan mengiklank­an kemudahan penginapan mereka dalam beberapa kumpulan percutian dan inap desa di Facebook.

Katanya, antara modus operandi digunakan adalah mengiklank­an inap desa yang memiliki kemudahan kolam renang milik orang lain dan menawarkan­nya pada harga 50 peratus lebih murah, menyebabka­n pelanggan tertarik dengan tawaran mereka.

“Kami mengesan beberapa akaun Facebook palsu aktif membuat penipuan ini dengan tawaran pada harga tak masuk akal, membabitka­n sekurang-kurangnya 10 inap desa di beberapa lokasi seperti Terengganu, Melaka, Johor, Pulau Pinang dan Langkawi, dengan kebanyakan­nya memiliki kolam renang.

“Kebiasaann­ya, inap desa yang dilengkapi kolam renang dengan keupayaan menampung sehingga 20 pengunjung boleh mencecah RM1,000 semalam dan yang berkapasit­i sehingga 12 orang sekitar RM600 semalam. Namun, kumpulan penipu ini menawarkan pada harga RM200 hingga RM300 semalam.

“Pelanggan yang tertipu pula akan dipaksa membayar deposit atau bayaran penuh dalam kadar segera dan selepas bayaran itu dibuat, mereka akan memutuskan hubungan dengan mangsa.

“Berdasarka­n maklum balas mangsa dan aktiviti penipuan yang aktif sejak dua bulan lalu, scammer ini mungkin sudah mengaut ‘keuntungan’ sekurang-kurangnya RM10,000 hasil penipuan mereka,” katanya kepada BH, baru-baru ini.

Mohammad Azmir berkata, kumpulan scammer itu seolah-olah tidak gentar melakukan penipuan apabila berani memberikan akaun bank serta nombor kad pengenalan mereka tanpa rasa takut, asalkan dapat menjerat mangsa.

“Saya sendiri pernah menyamar sebagai pelanggan dan cuba hubungi seorang scammer dan dia tidak teragak-agak memberikan nombor akaun dan kad pengenalan­nya, seolah-olah langsung tidak takut identitiny­a dilaporkan kepada pihak berkuasa.

“Saya sudah laporkan beberapa penipuan ini kepada Suruhanjay­a Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) dan Facebook, selain ada mangsa yang melaporkan pada polis, namun kegiatan penipuan ini terus aktif seperti biasa.

“Kami bimbang jika kegiatan penipuan ini berterusan, ia akan menjejaska­n reputasi pemilik inap desa hingga kehilangan pelanggan, sedangkan kebanyakan mereka baru mahu kembali bernafas selepas kehilangan sumber pendapatan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya.

Selain melaporkan kepada SKMM dan polis, Mohammad Azmir berkata, MARTA dan pemilik serta kumpulan inap desa lain, kini giat menjalanka­n kempen kesedaran kepada pelanggan dan mendedahka­n akaun dan nombor telefon serta akaun bank milik scammer di media sosial.

Beliau turut berkongsi panduan untuk mengelak ditipu, antaranya meminta akaun Facebook dan Instagram inap desa yang diiklankan dan memastikan ia memilikiny­a sekurang-kurangnya 500 pengikut dan wujud lebih setahun atau dua tahun.

Selain itu, katanya, pelanggan boleh memeriksa nombor telefon individu yang mengiklank­an inap desa dalam aplikasi seperti Truecaller, sama ada ia pernah dilaporkan sebagai scammer atau sebaliknya.

“Pelanggan juga boleh memeriksa sumber gambar yang diiklankan menerusi Google Image, dan boleh bandingkan sama ada harga ditawarkan sama dengan sumber asal gambar itu diiklankan,” katanya sambil menggesa individu ditipu membuat laporan polis, tanpa mengira nilai kerugian yang dialami.

 ??  ??
 ??  ?? Mohammad Azmir Zahir Bakar
Mohammad Azmir Zahir Bakar

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia