Berita Harian

Mangsa diberi alamat penginapan kawasan kubur

-

Kuala Lumpur: Hasrat hati mahu bercuti bersama keluarga dan rakan di inap desa, namun ia ‘berakhir’ di tanah kubur.

Itu pengalaman perit dilalui seorang operator kilang, Azmeer Idham Kamaruzama­n, 29, yang diperdaya ‘scammer’ ketika merancang mengadakan hari keluarga di Port Dickson, Negeri Sembilan, pada 7 November depan.

Azmeer Idham pada mulanya memuat naik status mencari inap desa dalam beberapa kumpulan percutian di Facebook (FB), sebelum menerima mesej daripada seorang wanita memaklumka­n mengenai inap desa yang dilengkapi kolam renang di Teluk Kemang, berharga RM800 semalam.

Wanita itu kemudian meminta deposit RM300 dan dia bersetuju untuk membayarny­a selepas melihat beberapa maklum balas di FB miliknya.

“Beberapa hari kemudian, saya diminta menambah RM200 dan jika saya tidak menjelaska­n bayaran itu, duit RM300 yang dibayar sebelum ini dikira ‘hangus’. Kerana enggan kerugian, saya bayar RM200 sebelum meminta lokasi inap desa itu dan wanita terbabit memberikan satu alamat,” katanya.

Atas rasa ingin tahu, Azmeer Idham yang menetap di Rembau, tergerak hati meninjau sendiri inap desa itu dua minggu lalu memandangk­an perjalanan dari rumahnya di Rembau ke Teluk Kemang hanya mengambil masa kira-kira 30 minit.

“Saya tiba di lokasi yang diberikan wanita itu kira-kira jam 9 malam dan terkejut apabila mendapati ia adalah kawasan tanah perkuburan. Apabila dihubungi, wanita itu memberi pelbagai alasan dan enggan berjumpa sebelum komunikasi terputus. Selepas itu saya tidak lagi dapat menghubung­inya,” katanya.

Ditanya tindakanny­a selepas ditipu, Azmeer Idham memberitah­u hanya menguar-uar penipuan itu di beberapa kumpulan percutian dan inap desa di FB.

“Saya tidak pasti sama ada mahu melaporkan kes itu pada polis atau tidak kerana sebelum ini, adik saya pernah membuat laporan polis apabila ditipu hingga kerugian RM800, namun sehingga kini tiada tindakan lanjut,” katanya.

Bagi peniaga dalam talian yang hanya mahu dikenali sebagai Nick, dia turut melalui pengalaman sama apabila ditipu ketika membuat tempahan penginapan dalam talian untuk bercuti di Pulau Pinang pada 24 September lalu menyebabka­nnya kerugian RM200.

Lebih memburukka­n keadaan, Nick, 36, hanya menyedari ditipu apabila dia dan 11 anggota keluargany­a yang menetap di Kelantan, tiba di Pulau Pinang.

“Pada mulanya saya membayar deposit RM200, sebelum diminta membuat bayaran penuh RM800 tetapi saya tegaskan akan membuat bayaran penuh apabila tiba di inap desa menyebabka­n dia berjanji akan memberikan kunci apabila tiba di lokasi.

“Apabila tiba di Pulau Pinang dari Kelantan, saya menghubung­i orang itu menerusi Whatsapp namun tiada balasan. Kami terpaksa mencari penginapan lain dan mujurlah terjumpa inap desa yang ada kekosongan untuk 12 orang,” katanya.

Sementara itu, pemilik inap desa di Kuala Terengganu, Dr Fazlli Patkar, berkata gambar inap desanya pernah digunakan penipu untuk mengumpan dan memperdaya mangsa.

“Saya menyedari perkara itu apabila ada dua kumpulan tetamu tiba di rumah inap saya pada hari yang sama. Satu kumpulan tetamu itu memaklumka­n sudah membayar deposit kepada seseorang yang mengiklank­an inap desa saya. Dia cuba hubungi individu itu, namun tidak berjawab,” katanya.

Fazlli berkata, sekurang-kurangnya lima individu menghubung­inya memaklumka­n turut ditipu scammer ketika mahu membuat tempahan penginapan dalam talian dan dia yakin lebih ramai yang menjadi mangsa penipuan berkenaan.

Ditanya sama ada membuat laporan pada polis atau Suruhanjay­a Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Fazlli berkata, kesnya tidak kukuh jika dilaporkan kerana tidak membabitka­n kerugian di pihaknya.

“Mangsa ditipu kena laporkan pada polis. Itu lebih kukuh kerana ia membabitka­n kerugian pada pihak mereka. Saya harap semua yang menjadi mangsa tampil melaporkan kepada polis,” katanya.

Saya tiba di lokasi yang diberikan wanita itu kira-kira jam 9 malam dan terkejut apabila mendapati ia adalah kawasan tanah perkuburan.

Azmeer Idham Kamaruzama­n, Operator kilang

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia