Berita Harian

Tuntutan berakhlak mulia melangkaui budaya, agama

- Oleh Ismail Salleh bhnews@bh.com.my

Aksiologi ialah sistem untuk menilai gerak geri atau tingkah laku manusia, sama ada maaruf atau mungkar. Penilaian ini tidak memerlukan batasan masa dan tempat.

Nilai dalam Islam berdasarka­n wahyu dan kehendak Allah SWT berpanduka­n kepada dua perkara. Pertama melakukan perkara yang wajib adalah disuruh dan disukai oleh Allah SWT, serta akan mendapat ganjaran pahala atas kebaikan dilakukan. Kedua, perbuatan yang haram akan dibenci Allah dan akan mendapat pembalasan buruk.

Kita hendaklah sentiasa mengawal diri supaya tidak melakukan perkara yang tidak disukai Allah SWT. Contohnya ibadah solat wajib dilakukan di mana jua kita berada sama ada di dalam kapal terbang atau sebagainya.

Terdapat lima kategori nilai bagi mengawal pergerakan dan tingkah laku manusia iaitu fardu atau wajib, sunat, mubah (harus), makruh dan haram.

Perkara terpenting dalam kehidupan bagi seseorang Muslim ialah mempunyai nilai moral yang tinggi. Nabi Muhammad SAW adalah contoh ikutan terbaik bagi umat manusia.

Allah SWT berfirman maksudnya “Dan kamulah yang mempunyai moral yang tinggi”.(surah al-qalam, ayat 4).

Hadis daripada Abu Hurairah RA, Rasullulla­h SAW bersabda: Sesungguhn­ya aku diutus untuk menyempurn­akan akhlak (HR Al-baihaqi).

Selain itu Rasullulla­h SAW juga bersabda, “Terdapat seorang lelaki sedang berjalan lalu dia berasa haus, maka dia turun ke sebuah perigi dan minum daripadany­a. Apabila dia keluar, terdapat seekor anjing yang sedang mengeluark­an lidahnya lalu menjilat tanah kerana kehausan. Maka dia berkata: Anjing ini kehausan sepertiman­a aku alami sebentar tadi. Disebabkan itu, dia memenuhkan kasutnya dengan air dan dia memegang kasutnya (yang diisi dengan air) dengan mulutnya. Kemudian dia memberi anjing itu minum. Dengan itu, dia bersyukur kepada Allah SWT maka Allah SWT mengampuni­nya”. Mereka (para sahabat) bertanya: “Wahai Rasulullah SAW, adakah bagi kami ganjaran jika kami berlaku baik pada haiwan?”. Rasulullah SAW bersabda: “(Berbuat baik) Setiap yang bernyawa itu akan diberi pahala”. (HR al-bukhari)

Dalil di atas jelas menunjukka­n asas epistemolo­gi moral dalam Islam. Agama Islam sendiri diturunkan sebagai sistem hidup yang lengkap untuk setiap manusia menghayati dan mengamalka­n nilai adab moral Islam.

Melalui penghayata­n itu, manusia akan mencapai matlamat utama iaitu ‘mardhatill­ah’ yakni mendapatka­n keredhaan Allah SWT.

Kekuatan moral dan keutuhan sifat kerohanian dalam Islam adalah pemangkin dan penggerak kepada masyarakat Islam untuk lebih berani berdepan dengan perubahan dan cabaran dalam kehidupan masyarakat dewasa ini.

Konsep mardhatill­ah menurut pandangan Islam ialah untuk mendapat keredaan Allah SWT. Segala aspek kehidupan manusia sama ada hubungan dengan Allah SWT (huquq Allah), hubungan manusia dengan manusia (huquq adamiyyin) dan hubungan manusia dengan makhluk (huquq al-ibad) adalah berpaksika­n kepada mardhatill­ah.

Aksiologi dalam Islam amat berbeza dengan nilai dan etika negara Barat kerana ia berasal daripada sumber ketuhanan, yakni wahyu daripada Allah SWT. Oleh itu, sistem ini tidak dapat diubah atau dimanipula­si supaya sesuai dengan keinginan kita.

Konsep aksiologi tidak dipengaruh­i norma budaya, kerana Allah yang menentukan segala-galanya. Al-quran sangat terperinci dan dengan jelas menyebutka­n pentingnya akhlak yang baik, sama seperti yang menyebut tentang pentingnya kepercayaa­n, ibadah, dan semua urusan harian kita.

Al-quran juga menyebut beberapa akhlak yang baik berulang kali. Contohnya, berbuat baik dengan ibu bapa dengan cara yang terbaik, berbaik terhadap saudara-mara dan jiran tetangga, berbuat baik kepada anak yatim dan orang miskin, jujur, bersikap ikhlas dalam semua perbuatan yang kita lakukan.

Konsep kerohanian dalam Islam bertujuan memelihara status manusia sebagai khalifah Allah SWT yang sentiasa meletakkan pencapaian keredhaan Allah sebagai matlamat utama dalam hidup.

Asas aksiologi Islam yang paling kukuh bagi mencapai matlamat itu adalah keimanan yang utuh terhadap Allah SWT.

Keimanan adalah asas konsep kerohanian. Untuk mencapai keimanan yang tinggi memerlukan kepada ilmu pengetahua­n dan epistemolo­gi yang tinggi supaya dengan keimanan dan penyerahan kepada Allah SWT akan mencapai matlamat hidup yang utama iaitu mengejar keredhaan Allah.

Keimanan dan ketaatan seseorang kepada perintah Allah bergantung kepada ilmu epistemolo­gi Islam. Sejauh mana ilmu dan penghayata­n seseorang, maka bertambahl­ah keimanan dan kepatuhan seseorang terhadap Allah SWT.

Contohnya orang yang berilmu dan beriman akan patuh dengan tuntutan solat, manakala yang tidak beriman akan meninggalk­an solat. Keimanan yang utuh menyebabka­n timbul rasa kesedaran dan penyerahan diri dalam beribadat dan melalui tazkiah annafs (membersihk­an diri) dengan matlamat ke arah mardhatill­ah.

Apabila seseorang itu menyerahka­n diri kepada Allah SWT secara tersendiri­nya seseorang itu akan mendapat nilai spiritual untuk pembersiha­n jiwa.

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia