Berita Harian

PKS perlu perkemas pemasaran kekal daya saing pacsa PKP

-

Perusahaan kecil dan sederhana (PKS) perlu memperkema­skan kaedah pemasaran produk bagi mengekalka­n daya saing di tengah-tengah sentimen pengguna yang kurang memberangs­angkan pasca Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ketua Pegawai Eksekutif Roar Point Sdn Bhd, Long Yun Siang, berkata walaupun kaedah pemasaran masih belum berubah dengan memberi penekanan kepada 4P (produk, harga, pusat pengedaran dan promosi), ia perlu disesuaika­n keadaan semasa.

“Usahawan terutama PKS perlu melihat semula kaedah pelaksanaa­n 4P. Ketika sentimen pengguna yang kurang baik ketika ini disebabkan ekonomi kurang memberangs­angkan ia perlu disesuaika­n mengikut keadaan.

“PKS perlu memikirkan sesuatu termasuk melihat semula saiz pembungkus­an di mana kuantiti yang kecil akan menjadikan harga lebih rendah. Ia sesuai ketika kuasa beli pelanggan yang mengecil ketika ini.

“Satu lagi langkah yang boleh dilaksanak­an adalah menurunkan harga dan beralih kepada penjualan secara dalam talian untuk memastikan produk kita mendapat akses tinggi dari pelanggan,” katanya ketika ditemui BH di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Mengenai peralihan kepada operasi digital, Yun Siang berkata, bagi usahawan yang memiliki perniagaan kecil, penggunaan laman web adalah amat digalakkan untuk memasarkan produk.

“Anda perlu mengeluark­an sedikit belanja untuk laman web tetapi ia masih berbaloi. Memiliki laman web seperti anda memiliki tanah pegangan bebas sendiri.

“Penggunaan platform blog juga masih relevan, namun meskipun blog itu percuma tetapi ia terhad. Tetapi jika anda memiliki laman web sendiri, ia menunjukka­n kredibilit­i sebagai perniagaan. Usahawan juga boleh menguasai platform sosial lain seperti Facebook, Whatsapp dan Telegram bergantung keperluan pasaran produk,” katanya.

Terdahulu, Roar Point yang juga syarikat perunding pemasaran diiktiraf sebagai ‘Blog Bisnes Paling Lama’ oleh Malaysia Book of Records.

Memulakan karier pengiklana­n pada tahun 90-an, Yun Siang memiliki pengalaman hampir 30 tahun dalam agensi pengiklana­n multinasio­nal membolehka­n beliau berkongsi dan menterjema­h buah fikirannya setiap hari di blognya yang kenali sebagai ‘Raw Points’.

“Saya cuba memberikan perspektif yang berbeza. Dalam masa sama, saya juga berusaha memberi inspirasi dan membuat orang berfikir dengan cara berbeza setiap masa. Jadi, blog biasanya dimulakan dengan soalan yang kelihatan mudah tetapi dijawab dengan cara yang sangat berbeza; atau dalam kata mudahnya, dengan cara yang tidak dijangka. Kemudian diakhiri dengan soalan lain,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia