Berita Harian

Phuket umpama ‘pulau mati’

-

Bangkok: Phuket yang menjadi antara destinasi pelanconga­n popular di Thailand kini sepi daripada kunjungan pelancong.

Ia berikutan ketiadaan pelancong asing selepas banyak negara menutup sempadan antarabang­sa dan menguatkua­sakan kawalan pergerakan bagi mengekang penularan COVID-19.

AFP melaporkan tiada lagi bunyi muzik bingit dari pusat hiburan, malah hampir sebahagian besar jalan di bandar Patong kini lengang.

Situasi sama juga dilihat apabila tiada pelancong berjemur di kolam renang dan pantai.

Malah, keadaan sunyi itu menarik penyu untuk kembali mendarat bagi bertelur di lokasi tertentu di pulau peranginan ini.

Sebelum COVID-19, Phuket menjadi destinasi pelanconga­n kedua paling popular di Thailand selepas Bangkok, dengan kunjungan sembilan juta pelancong pada tahun lalu.

Sektor itu juga menyumbang hampir 80 peratus daripada pendapatan di pulau berkenaan dan memberikan lebih 300,000 peluang pekerjaan.

Ahli perniagaan tempatan, Preechawut Keesin, berkata ketiadaan pelancong pada masa ini memaksa sebahagian besar daripada 3,000 hotel tidak dapat beroperasi.

Akibatnya, ribuan hilang pekerjaan dan terpaksa pulang ke kampung halaman.

Pengurus bar di pulau itu, Jantima Tongsrijer­n, berkata majikannya berusaha membantu memastikan pekerja masih mempunyai pekerjaan.

“Bagaimanap­un, saya tidak fikir kami dapat beroperasi sehingga akhir tahun ini,” katanya.

Mereka yang memilih untuk tidak pulang ke kampung pula terpaksa mendapatka­n bantuan kerajaan dan mencari sumber pendapatan lain. AFP

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia