Berita Harian

‘Kena ada bukti kuat kerajaan PN hilang majoriti’

-

Kuala Lumpur: Pelucutan dan lantikan Perdana Menteri (PM) perlu melalui peringkat tertentu berlandask­an Perlembaga­an Persekutua­n dan memerlukan satu proses verifikasi oleh Yang di-pertuan Agong.

Pakar Perlembaga­an, Prof Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood, berkata antara perkara akan dipertimba­ngkan adalah sama ada wujud bukti kuat bahawa kerajaan Perikatan Nasional (PN) sudah hilang majoriti dalam Dewan Rakyat.

“Kita perlu melihat secara keseluruha­n kerana proses ini bukan mudah, walaupun Datuk Seri Anwar Ibrahim menghadap Yang di-pertuan Agong sambil menyatakan jumlah menyokongn­ya, ia tidak semestinya diterima baginda.

“Baginda yang akan memutuskan sama ada orang yang mendakwa mendapat sokongan majoriti dilantik sebagai PM atau orang lain yang mungkin juga menjadi pilihan,” katanya ketika dihubungi BH, di sini, semalam.

Nik Ahmad Kamal berkata, proses ini tidak dinyatakan secara jelas dalam Perlembaga­an, tetapi sudah menjadi sebahagian adat resam Perlembaga­an yang diterima pakai di negara Komanwel.

Mengulas nasihat Al-sultan Abdullah supaya Anwar akur dan menghormat­i proses perundanga­n seperti termaktub dalam Perlembaga­an Persekutua­n, beliau berkata, Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Perdana Menteri juga berhak menerangka­n kedudukan beliau.

“Perdana Menteri masih ada hak, pertama untuk memohon supaya baginda membubarka­n Parlimen, hak ini ada dalam Perlembaga­an.

“Maka, mesti wujud keadaan pada hemat baginda, Perdana Menteri hilang majoriti, yang kedua sama ada baginda memanggil menghadap atau Perdana Menteri berjumpa Yang di-pertuan Agong untuk memohon membubarka­n Parlimen atau sama ada memilih untuk meletakkan jawatan,” katanya.

Beliau juga tidak menolak ada kemungkina­n titah Seri Paduka itu berbentuk ‘teguran’ supaya ahli politik tidak menimbulka­n spekulasi awal sebelum menghadap baginda.

“Jika benar Anwar sudah mendapat sokongan majoriti, jangan diuar-uarkan, sebaliknya lebih baik menghadap Yang di-pertuan Agong, mungkin ini yang cuba baginda sampaikan,” katanya.

Sementara itu, pengasas Jurisprude­ns Watan yang juga Profesor Madya, Fakulti Pengurusan Industri, Universiti Malaysia Pahang (UMP), Datuk Dr Wan Ahmad Fauzi Wan Husain, berkata titah baginda supaya Anwar akur dan menghormat­i proses perundanga­n, bermakna baginda merujuk Perkara 43(4) Perlembaga­an Persekutua­n.

“Apabila baginda bertitah perlu mengikut proses perundanga­n, ini bermakna baginda merujuk Perkara 43(4) bahawa ‘apabila seorang Perdana Menteri tidak lagi mendapat kepercayaa­n majoriti ahli Dewan Rakyat, maka Perdana Menteri hendaklah meletakkan jawatan Jemaah Menteri, melainkan jika atas permintaan­nya Parlimen dibubarkan oleh Yang di-pertuan Agong.’

“Apabila Tuanku menasihati sedemikian, maknanya baginda bertindak sesuai dengan kedudukan sebagai Yang di-pertuan Agong, iaitu pemelihara Perlembaga­an Persekutua­n dengan berdiri teguh atas pemerintah­an yang adil,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.

Wan Ahmad Fauzi berkata, jelas dalam titah itu, baginda meletakkan isu keselamata­n dan kesihatan rakyat yang dilanda gelombang ketiga COVID-19 sebagai keutamaan berbanding pergelutan politik.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia