Berita Harian

Tiada layanan istimewa anggota Kabinet langgar peraturan

-

Putrajaya: Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan, tiada layanan istimewa diberi kepada mana-mana anggota Kabinet yang melanggar undang-undang, sama ada dalam isu berkaitan COVID-19 atau perkara lain.

Perdana Menteri berkata, menteri atau timbalan menteri yang melakukan kesalahan akan diadili berlandask­an undang-undang, sama seperti dilalui rakyat biasa.

Mengambil contoh isu Menteri Perusahaan Perladanga­n dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali, beliau memaklumka­n polis sudah menyerahka­n kertas siasatan kepada Pejabat Peguam Negara (AGC).

“Tidak ada pilih kasih dalam pelaksanaa­n undang-undang. Jika mereka (anggota Kabinet) didapati melakukan kesalahan, mereka akan dilayan mengikut lunas undang-undang dan jika didapati bersalah, hukuman perlu dikenakan kepada mereka.

“Dalam isu Mohd Khairuddin, siasatan mengenai kesnya sudah selesai dan diserahkan kepada AGC untuk memutuskan sama akan mendakwany­a atau tidak,” katanya pada sidang media khas di kediamanny­a di sini, semalam.

Mengulas lanjut, Muhyiddin mengakui isu pilih kasih dan perbezaan layanan antara golongan menteri dan orang biasa lebih kepada sentimen serta persepsi.

Misalnya, kata Perdana Menteri, apabila netizen melihatnya tidak memakai gelang kuarantin dan mempersoal­kan perkara itu, sedangkan individu biasa dan beberapa anggota Kabinet yang menjadi kontak rapat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-bakri, perlu memakai gelang berkenaan.

“Saya orang yang paling patuh undang-undang. Saya tak pakai gelang kuarantin kerana petugas kesihatan yang berdasarka­n perkiraan mereka sendiri, memutuskan saya tidak perlu memakainya.

“Jika dibandingk­an dengan (Menteri Dalam Negeri) Datuk Seri Hamzah Zainuddin dan (Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Datuk Takiyuddin Hassan, mereka duduk di sebelah Dr Zulkifli.

“Saya pula duduk jauh, kira-kira 10 hingga 15 meter (daripada Zulkifli). Saya hanya ikut arahan petugas kesihatan. Jika mereka suruh saya pakai gelang di tangan atau kaki, saya akan akur,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia