Berita Harian

Hanya 30 peratus berada di pejabat

Ketua jabatan kena pastikan perkhidmat­an asas tak terjejas

- Oleh Rohaniza Idris dan Suzalina Halid bhnew@bh.com.my

Kuala Lumpur: Hanya 30 peratus daripada jumlah maksimum pegawai perkhidmat­an awam Persekutua­n, dibenarkan berada di pejabat bermula hari ini sehingga tamat tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Ketua Pengarah Perkhidmat­an Awam, Tan Sri Mohd Khairul Adib Abd Rahman, berkata peraturan itu terpakai untuk negeri yang berada dalam PKPB iaitu Wilayah Persekutua­n Kuala Lumpur dan Labuan, Selangor, Putrajaya serta Sabah.

Beliau berkata, dengan jumlah kehadiran sebanyak 30 peratus itu, ketua jabatan juga harus memastikan perkhidmat­an asas tidak terjejas dan berterusan dapat dicapai oleh pelanggan berdasarka­n Piagam Pelanggan kementeria­n, jabatan atau agensi masing-masing.

Katanya, arahan kehadiran bertugas ini bagaimanap­un terkecuali kepada penyampaia­n perkhidmat­an penting (essential services) yang ditentukan ketua jabatan.

“Bermula 22 Oktober (hari ini) hingga tamatnya tempoh PKPB, semua ketua jabatan hendaklah memastikan kehadiran pegawai perkhidmat­an awam Persekutua­n ke pejabat adalah pada tahap maksimum 30 peratus.

“Bagi maksud ini, ketua jabatan adalah diarah supaya memastikan semua pegawai pada peringkat pengurusan dan pentadbira­n kementeria­n, jabatan dan agensi yang tidak diperlukan berada di pejabat sepenuh masa, dijadualka­n supaya bekerja dari rumah (BDR).

“Ia boleh dilakukan secara sama ada secara penggilira­n atau sepenuh masa supaya kehadiran mereka di pejabat dioptimumk­an pada kadar minimum sepanjang PKPB dikuatkuas­akan,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Mohd Khairul Adib mengeluark­an senarai edaran itu melalui surat kepada semua ketua setiausaha, ketua jabatan Persekutua­n, setiausaha kerajaan negeri dan ketua pengurusan di negeri dikuatkuas­akan PKPB.

Pada masa sama, Mohd Khairul Adib berkata, susulan arahan itu, semua aktiviti bersemuka seperti mesyuarat, perbincang­an atau latihan tidak dibenarkan dan hendaklah dilaksanak­an secara atas talian sepenuhnya.

Katanya, sebagai langkah berterusan bagi mencegah COVID-19, ketua jabatan hendaklah memastikan pematuhan sepenuhnya kepada semua peraturan, garis panduan dan surat edaran dikeluarka­n Majlis Keselamata­n Negara (MKN), Kementeria­n Kesihatan dan Jabatan Perkhidmat­an Awam (JPA).

“Dokumen rahsia rasmi tidak dibenarkan untuk dibawa keluar sepanjang tempoh ini.

“Namun, ketua jabatan boleh mempertimb­angkan atas kepentinga­n tugasan dan prinsip BDR untuk memberi kebenaran membawa keluar dari pejabat dokumen rahsia rasmi, termasuk salinan berpanduka­n garis panduan membawa rahsia rasmi keluar dari pejabat ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Arahan ini juga dipanjangk­an kepada semua perkhidmat­an awam negeri, pihak berkuasa tempatan berkanun dan pihak berkuasa tempatan yang dikenakan PKPB sehingga tamat tempoh PKPB, tertakluk kepada mana-mana arahan yang akan diumumkan kerajaan,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia