Mahkamah syariah beroperasi secara terhad mulai esok
Putrajaya: Mahkamah syariah di Selangor, Sabah, Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan, beroperasi secara terhad mulai hari ini hingga tamat tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) dalam kenyataannya, berkata keputusan itu susulan arahan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Mohd Khairul Adib Abd Rahman, yang mengehadkan kehadiran pegawai di pejabat pada kadar maksimum 30 peratus, mulai hari ini hingga tamat PKPB.
Sepanjang tempoh itu, hanya kes syariah mengikut kategori tertentu akan dibicarakan termasuk kes mendesak yang perlu didengar dan diberi perhatian segera seperti membabitkan penderaan atau merekodkan persetujuan.
“Permohonan boleh dibuat dengan perakuan segera yang akan diteliti ketua pendaftar atau pendaftar dengan kebenaran ketua hakim syarie atau hakim mahkamah tinggi syariah atau hakim mahkamah rendah syariah tertakluk kepada tatacara yang ditetapkan oleh negeri,” demikian menurut kenyataan itu.
Menurut JKSM, kes yang membabitkan had masa seperti pemfailan notis rayuan dalam tempoh 14 hari juga akan diutamakan, manakala kes yang ditetapkan untuk sebutan atau perbicaraan sepanjang tempoh PKPB akan ditangguhkan, melainkan kes yang telah lulus permohonan perakuan segera.
Garis Panduan Operasi Mahkamah Syariah di Selangor, Sabah, Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan boleh dirujuk dengan melayari laman rasmi atau Facebook ketiga-tiga jabatan tersebut.
Sebagai langkah menyokong kerajaan dalam menangani penularan wabak COVID-19, pengurusan kes juga akan dibuat berdasarkan prosedur operasi standard dan garis panduan Majlis Keselamatan Negara dan garis panduan pengurusan COVID-19 Kementerian Kesihatan, demikian menurut JKSM. BERNAMA
Kes yang membabitkan had masa seperti pemfailan notis rayuan dalam tempoh 14 hari juga akan diutamakan.
Kenyataan JKSM