Berita Harian

Pusat puas hati kemajuan diraih Iskandar Malaysia

Inisiatif berterusan dikongsi bersama komuniti

- Oleh Ilah Hafiz Aziz illahhafiz.abdulaziz@bh.com.my

Putrajaya: Tan Sri Muhyiddin Yassin berpuas hati apabila penduduk di Iskandar Malaysia terus menikmati kemajuan di wilayah pembanguna­n ekonomi itu hasil inisiatif berterusan yang dilaksanak­an.

Perdana Menteri yang juga Pengerusi Bersama Ahli Lembaga Pihak Berkuasa Wilayah Pembanguna­n Iskandar (IRDA), berkata sebagai wilayah ekonomi, Iskandar Malaysia sudah menunjukka­n peningkata­n pelaburan sejak mula ditubuhkan sehingga hari ini.

“Saya amat gembira melihat banyak kejayaan yang turut sama dinikmati rakyat, selain membina komuniti yang berdaya tahan dan teguh dalam pembanguna­n pesatnya,” katanya selepas menghadiri mesyuarat IRDA secara persidanga­n video, kelmarin.

Kenyataan mengenai mesyuarat itu dikeluarka­n IRDA, semalam.

Muhyiddin berkata, beliau percaya semua Ahli Lembaga IRDA akan menyokong setiap inisiatif yang dicadangka­n kerajaan untuk membantu rakyat, khususnya ketika penularan pandemik COVID-19.

“Saya percaya semua ahli lembaga akan bersetuju dengan saya mengenai agenda membantu rakyat di Iskandar Malaysia dan bersetuju untuk menyokong setiap inisiatif bagi membantu rakyat khususnya semasa dan selepas pandemik COVID-19,” katanya.

Sementara itu, Ketua Eksekutif IRDA, Datuk Ismail Ibrahim, berkata perkongsia­n kekayaan dan agenda inklusif dalam Pelan Pembanguna­n Komprehens­if (Dpii) adalah bertujuan untuk dinikmati bersama-sama dengan komuniti yang tinggal di Iskandar Malaysia.

“Aspek yang diutamakan adalah untuk memastikan agenda ini ini berkekalan untuk menjamin ekosistem yang ada bagi membantu masyarakat, dalam proses membuat keputusan dan melaksanak­an inisiatif berasaskan setempat,” katanya.

Menurut IRDA, Iskandar Malaysia merekodkan jumlah pelaburan bernilai RM322.1 bilion dari tahun 2006 hingga Jun 2020, dengan membuka lebih 750,000 peluang pekerjaan.

Antara perkara yang dibangkitk­an dalam mesyuarat terbabit adalah mengumpul satu data bagi membantu pihak berkuasa dan rakan kerjasama di Iskandar Malaysia dalam memastikan usaha membantu rakyat lebih berkesan.

Turut dicadangka­n ialah meningkatk­an tahap kepemimpin­an berasaskan masyarakat dan kemahiran yang lebih cekap.

Terdapat juga syor melantik wakil dan pemimpin masyarakat yang bukan sahaja membantu memperkasa­kan rakyat, malah mampu berkomunik­asi dengan lebih baik.

Dalam mesyuarat itu, sokongan terhadap Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA), turut disampaika­n.

 ?? (Foto ihsan Facebook Muhyiddin Yassin) ?? Muhyiddin menghadiri mesyuarat IRDA secara persidanga­n video, kelmarin.
(Foto ihsan Facebook Muhyiddin Yassin) Muhyiddin menghadiri mesyuarat IRDA secara persidanga­n video, kelmarin.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia