Berita Harian

Inkubasi virus lebih 14 hari belum pernah dilaporkan di Malaysia

-

Putrajaya: Kes COVID-19 yang membabitka­n tempoh inkubasi virus itu lebih daripada 14 hari belum pernah dilaporkan di negara ini, walaupun pernah dilaporkan di luar negara, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

“Kebanyakan kes COVID-19 dikesan pada hari ketujuh, kelapan hingga hari ke-13. Sebanyak 25 peratus (daripada) yang dikuaranti­n akan bergejala pada hari ke-12 atau ke-13.

“Tetapi tempoh (inkubasi) untuk 21 hari tidak pernah lagi dilaporkan,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Beliau berkata, dalam kes pengembara atau pemastauti­n tetap yang pulang dari luar negara, 75 peratus daripada 1,181 kes disahkan mendapat jangkitan pada hari pertama ujian dilakukan, manakala 25 peratus lagi dikesan positif pada hari ke-13.

Mana-mana kes didapati positif pada hari ke-13, mereka perlu menjalani kuarantin 14 hari lagi.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata, seorang wanita disahkan positif selepas hari ke-18 pulang dari Labuan, didapati tidak memaklumka­n kepada petugas kesihatan bahawa beliau mengalami gejala ringan pada hari ke-11. Wanita berkenaan didapati pulang dari Labuan pada 10 Oktober lalu dan dikenakan ujian calitan hari pertama.

Kes 30,811 itu sekali lagi menjalani ujian pada hari ke-10 dan dilepaskan daripada kuarantin pada hari ke-14.

“Pada hari pertama ujian dan hari ke-10 beliau didapati negatif. Apabila wanita ini didapati bergejala pada hari ke-18, beliau diuji semula dan didapati positif.

“Siasatan mendapati, pada hari ke-11, wanita ini mempunyai gejala, tetapi tidak dimaklumka­n kepada pihak berkuasa,” katanya sambil menambah wanita itu hanya ke klinik selepas mengalami gejala lebih teruk.

Dr Noor Hisham mengulas mengenai satu laporan membabitka­n seorang wanita disahkan positif COVID-19 pada hari ke-18 di Sarawak.

Dalam perkembang­an berkaitan, Dr Noor Hisham turut menasihatk­an masyarakat supaya terus mematuhi saranan dan nasihat kesihatan yang sering ditekankan, selain menjadikan­nya kebiasaan baharu.

Masyarakat perlu mengamalka­n 3W, iaitu kerap mencuci tangan dengan air dan sabun; memakai pelitup muka serta mematuhi amaran KKM, selain mengelak 3S, iaitu kawasan sesak dan sempit serta berbual pada jarak dekat.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia