Berita Harian

Penjawat awam turut terkesan COVID-19

-

Putrajaya: Penjawat awam turut menjadi antara kalangan yang terkesan dengan penularan COVID-19 dan selayaknya menerima Bantuan Prihatin Nasional (BPN).

Presiden CUEPACS, Adnan Mat, berkata adalah tidak adil untuk menyatakan penjawat awam tidak layak menerima BPN hanya disebabkan mereka masih menerima gaji sepanjang pelaksanaa­n Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berikutan penularan COVID-19.

Katanya, bukan semua pasangan penjawat awam sama-sama bekerja di sektor kerajaan.

“Ada dalam kalangan pasangan suri rumah, bekerja sendiri seperti penjaja kecil serta bekerja di sektor swasta yang mungkin turut terjejas pendapatan mereka.

“Penjawat awam yang mempunyai pinjaman perumahan dengan Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA) tetap perlu membayar pinjaman seperti biasa walaupun ada dalam kalangan pasangan mereka dibuang kerja, tidak dapat berniaga atau terjejas pendapatan.

“Situasi semasa negara ketika ini disebabkan penularan COVID-19 mengganggu rutin kerja dan menjejaska­n pendapatan isi rumah rakyat.

“Penjawat awam juga tidak terkecuali,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Beliau mengulas pandangan seorang perunding kewangan yang antara lain berkata, penjawat awam tidak sepatutnya menerima BPN kerana tidak terkesan atau tidak dipotong gaji sepanjang penularan COVID-19 serta pelaksanaa­n PKP.

Adnan berkata, kriteria pemberian BPN diberikan berdasarka­n pendapatan isi rumah atau keseluruha­n keluarga dan bukannya berdasarka­n faktor individu semata-mata.

Kerajaan menetapkan pemberian BPN kepada isi rumah yang berada pada kumpulan B40 dan M40 selain individu bujang yang tergolong dalam senarai B40 dan M40.

Adnan berkata, penetapan kelas B40 dan M40 ini tidak mengambil kira sama ada mereka bekerja di sektor kerajaan atau sektor swasta.

“Jika isi rumah itu berpendapa­tan RM4,000 ke bawah, tidak kira mereka di sektor swasta atau kerajaan akan layak menerima BPN kerana dikategori­kan B40,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, adalah tidak adil jika mana-mana pihak terus melabelkan atau membuat keputusan dengan hanya melihat dalam konteks yang sempit.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia