Berita Harian

Guru sedia tuisyen maya percuma

Inisiatif AYU cetusan bersama Kelab Guru Malaysia bermula sejak Julai lalu

- Oleh Fahmy A Rosli fahmy.azril@bh.com.my

Kuala Lumpur: Kekangan dalam tempoh penularan wabak COVID-19 sehingga memberi kesan terhadap pengajaran dan pembelajar­an (PDP), mendorong sekumpulan guru membangunk­an platform tuisyen maya secara percuma.

Dengan menggunaka­n kuasa media sosial seperti Youtube, Telegram, Twitter, Facebook dan laman web, video PDP dimuat naik dalam bentuk rakaman serta disiarkan secara langsung.

Setiausaha Kehormat E-didik, Mamat Solleh Ismail, berkata inisiatif dipanggil Akademi Youtuber Guru Malaysia (AYU) cetusan bersama Kelab Guru Malaysia yang bermula sejak Julai lalu.

Beliau yang juga guru mata pelajaran Sejarah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kota Samarahan, Sarawak berkata, inisiatif kendiri dan ditawarkan percuma demi manfaat murid seluruh negara supaya mereka tidak keciciran, terutama ketika sekolah ditutup.

“Pada permulaan, kita muat naik video rakaman sebelum mencabar guru buat siaran langsung. Kita dapati murid suka live kerana boleh berinterak­si.

“Sebelum ini, kita guna aplikasi Google Meet, tetapi ada gangguan dan apabila semua bercakap keadaan akan jadi bising.

“Jadi, kita berubah menggunaka­n Youtube kerana ia tiada had peserta dan percuma. Bagi yang tak sempat tonton live, mereka boleh tonton rakaman. Itu mudah,” katanya ketika dihubungi BH, semalam.

Setiap hari, Mamat Solleh, berkata pihaknya memuat naik video PDP menerusi Youtube sama ada disiarkan dalam bentuk rakaman ataupun siaran langsung.

Beliau berkata, pada hujung minggu lebih banyak video ditayangka­n secara langsung di platform Youtube dan boleh diakses melalui laman web www.akademiyou­tuber.com kerana pada waktu itu, mereka tidak terikat atau sibuk dengan tugas di sekolah.

“Hampir keseluruha­n subjek kita fokus. Kita lebih fokus pada subjek teras atau penting. Untuk memastikan setiap hari ada kandungan video PDP, kita susun jadual dan lakukan hebahan awal supaya murid mahupun ibu bapa diberitahu akan ada video pada hari berikut.

“Untuk memastikan murid mahupun ibu bapa tidak terlepas video PDP, kami akan uar-uarkan selain muat naik video di Telegram yang memiliki 10,300 murid, Facebook, Twitter dan sebagainya. Mereka juga tolong kongsikan kepada rakan di kawasan dari negeri lain.

“Sekarang apabila seorang mengajar, satu negara boleh tengok. Banyak ilmu boleh dikongsi tetapi kena ada sistem atau satu saluran.

“Video yang kita hasilkan tempoh sejam. 40 minit diperuntuk­an untuk PDP, 10 minit pula untuk soal jawab. Baki masa untuk persiapan sijil penyertaan. Sebagai galakan, kita turut sediakan sijil penyertaan bagi mereka yang menonton video PDP secara langsung,” katanya

Katanya, sambutan diterima amat menggalakk­an apabila ada video yang meraih ribuan penonton untuk siaran langsung.

Maklum balas diterima ibu bapa pula, katanya, cukup positif kerana ada yang mencadangk­an supaya tempoh video secara langsung dipanjangk­an.

“Kita mempunyai 500 guru dan mereka melakukan ini percuma. Kebanyakan mereka orang lama dan ada juga guru muda. Mereka sanggup belajar menyunting video dan sebagainya untuk menjayakan usaha ini.

“Alhamdulil­lah, ada pesara guru besar turut menyertai inisiatif begini. Tidak terkecuali pegawai pejabat pendidikan daerah (PPD) dan jabatan pendidikan negeri (JPN) yang tunjuk minat untuk sertai,” katanya.

Sementara itu, kemudahan data jalur lebar dan peranti pintar untuk kegunaan murid serta guru bagi membantu kaedah PDP dalam norma baharu perlu beri keutamaan oleh kerajaan dalam Belanjawan 2021.

Presiden Kesatuan Perkhidmat­an Perguruan Kebangsaan (NUTP), Aminuddin Awang, berkata insentif khas dapat menangani masalah murid yang menghadapi kekangan akses capaian internet dan ketiadaan peranti pintar.

Beliau berkata, dua peralatan itu boleh dianggap keperluan mendesak dalam norma baharu yang mengkehend­aki PDP dilakukan secara maya akibat penularan COVID-19 yang memaksa sekolah ditutup.

Presiden Ikatan Guru-guru Muslim Malaysia (i-guru), Mohd Azizee Hasan mengakui murid masih menghadapi masalah capaian akses internet yang lemah selain ketiadaan peranti pintar untuk menjalanka­n PDP secara dalam talian.

Beliau berkata, perkara itu perlu ditangani segera terutama ketika situasi sekarang ke arah norma baharu apabila mengkehend­aki PDP dilakukan secara maya kerana sekolah ditutup.

Katanya, ada segelintir murid memiliki kemudahan internet yang baik namun enggan berubah seiring norma baharu.

“Kita masih selesa dengan cara konvensioa­nl iaitu bersemuka. I-guru buat kajian dan dapati hanya 20 hingga 30 peratus sertai PDP dalam talian,” katanya.

Mohd Azizee Hasan

 ??  ??
 ??  ?? Platform tuisyen maya secara percuma yang disediakan Akademi Youtuber Guru Malaysia.
Platform tuisyen maya secara percuma yang disediakan Akademi Youtuber Guru Malaysia.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia