Berita Harian

Pengalaman bantu harungi situasi getir

Sukarelawa­n sedar risiko ajak rakan keluar dari pejabat

- Oleh Rafidah Mat Ruzki fidahruzki@bh.com.my

Putrajaya: Pengalaman berdepan gempa bumi di Nepal dan Filipina, membantu seorang sukarelawa­n rakyat Malaysia mengharung­i situasi getir gempa bumi Laut Aegean yang turut dirasai sehingga ke Pulau Samos di Greece, tengah hari kelmarin, waktu tempatan.

Sukarelawa­n kemanusiaa­n, Rayyan Haries (gambar), 30, yang berada di Pulau Samos hampir dua bulan itu, tidak teragak-agak mengajak rakan aktivis lain segera keluar dari pejabat organisasi Project Armonia di pulau itu kerana menyedari risiko gempa terhadap premis berkenaan yang juga berdinding kaca.

Beliau berkata, sebelum kejadian kira-kira jam 1.30 tengah hari waktu tempatan itu, kumpulan aktivis berkenaan sedang berbincang dalam pejabat terbabit yang terletak di pekan Vathy pulau itu, untuk program kemanusiaa­n membantu pelarian di Pulau Samos.

“Sebelum itu, saya ada cadangkan untuk makan di sebuah kedai Arab yang terletak berdekatan laut, tetapi rakan aktivis mengajak berbincang di pejabat saja.

“Tidak sampai lima minit, pejabat itu bergegar dan rakan saya ingatkan ada lori besar melalui berdekatan premis itu.

“Namun, saya rasa gegaran berbeza kerana pernah merasai keadaan sama ketika gempa bumi di Nepal dan Filipina, lalu terus mengajak mereka keluar dari bangunan terbabit,” katanya ketika dihubungi BH, semalam.

Rayyan berkata, ketika mereka berada di tepi jalan, terdetik di hatinya akan berlaku tsunami dalam tempoh 10 hingga 30 minit selepas gempa sekuat yang dirasainya semalam, lalu mengajak semua aktivis terbabit untuk pergi ke tempat lebih tinggi.

Tidak lama kemudian, katanya, mereka melihat penduduk Pulau Samos mulai memandu keluar dari kawasan pantai ke tempat lebih tinggi, menyebabka­n beliau mengajak rakannya ke tempat penginapan mereka.

“Pejabat kami itu terletak kira-kira 10 meter saja dari pantai, jadi saya segera mengajak rakan untuk pulang mengambil makanan dan dokumen peribadi termasuk pasport dan naik ke bukit di belakang kawasan kediaman kami.

“Dalam 15 minit kemudian, air laut mulai naik. Ketika itu, kami sudah ke kawasan gudang yang menempatka­n barang untuk memasak bagi pelarian,

Sukarelawa­n

yang berada di atas bukit berkenaan. “Kami terus berada di atas bukit itu dan bermalam di dalam khemah kerana tidak berani kembali ke kediaman,” katanya. Biarpun beliau dan rakan aktivis serta penduduk di pulau berkenaan sudah ke tempat lebih tinggi, mereka tetap berasa gegaran susulan yang kuat dua tiga jam selepas gempa bumi pertama, termasuk jam 3 pagi semalam, yang menyebabka­n masing-masing terjaga daripada tidur. Rayyan berkata, ketika berada di atas bukit berkenaan, mereka tidak kelaparan berikutan beliau dapat memasak makanan yang sempat dibawa, untuk 30 aktivis yang berlindung di situ.

Ditanya sama ada mereka akan terus berada atas bukit itu untuk malam ini, Rayyan berkata, perkara itu belum diputuskan lagi kerana ada yang tidak berhasrat untuk tidur di kawasan berkenaan untuk malam seterusnya.

“Saya nasihatkan rakan yang tinggal di apartmen yang sudah lama untuk tidak balik kerana bimbang perkara tidak diingini berikutan gegaran susulan ini akan berterusan sehingga 48 jam lagi,” katanya.

Beliau berkata, mereka sepakat melihat keadaan pejabat selepas gempa bumi itu sebelum merancang apa yang boleh dilakukan selepas ini.

 ?? (Foto AFP) ?? mencari mangsa gempa di Izmir.
(Foto AFP) mencari mangsa gempa di Izmir.
 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia