Berita Harian

Remaja berhenti sekolah sara dua adik

-

Muhammad Amirul Rhaffiq

Rantau Panjang: Seorang remaja sanggup berkorban masa dan tenaga dengan bekerja demi menanggung dua adiknya yang menumpang kasih di rumah datuk mereka di Kampung Gual Arang, Gual Sitok, di sini.

Muhammad Amirul Rhaffiq Rohidayat, 17, berhenti sekolah dan mengambil upah bekerja di sebuah kedai perkakasan untuk menyara Muhammad Raqqib Kharmidi, 13, serta Nursyaidat­ul Najeeha, 16, yang turut berhenti sekolah kerana masalah kewangan.

Tiga beradik berkenaan sebelum ini menetap di Johor dan dibawa pulang ke kampung oleh ibu mereka selepas tidak dapat meneruskan kehidupan di sana, manakala bapa pula meninggal dunia lima tahun lalu.

Muhammad Amirul berkata, ibunya kembali ke Johor bagi mencari rezeki dan dia mengambil keputusan untuk bekerja bagi memenuhi keperluan dua adiknya kerana datuk mereka bukan daripada keluarga senang.

“Pada jam 9 pagi setiap hari, saya keluar bekerja menunggang motosikal dipinjamka­n majikan dan menerusi gaji dua minggu sekali, cukup untuk saya membeli lauk-pauk dan memberi sedikit wang buat adik.

“Adik ada menyatakan hasrat untuk bekerja, namun saya menghalang­nya kerana mereka masih muda. Biar saya seorang bekerja selain berusaha mengumpul duit untuk memastikan mereka boleh kembali ke sekolah.

“Saya sebak setiap kali melihat adik dan mengenangk­an nasib kami yang tidak bersekolah

“Apapun, saya tidak mahu mengalah, sebaliknya bangkit bekerja demi sesuap nasi,” katanya yang ditemui di tempat kerjanya di Gual Tinggi di sini, kelmarin.

Kisah tiga beradik itu dapat perhatian pertubuhan bukan kerajaan, Thirdforce Rantau Panjang yang turut membantu mereka.

Muhammad Amirul berterima kasih atas bantuan diterima, selain bersyukur ditemukan dengan majikan yang sangat banyak menolongny­a dan turut berharap ada pihak sudi membantu dua adiknya kembali bersekolah.

 ?? (Foto Syaherah Mustafa /BH) ?? sesuap nasi. bekerja di kedai perkakasan demi mencari
(Foto Syaherah Mustafa /BH) sesuap nasi. bekerja di kedai perkakasan demi mencari

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia