Berita Harian

Tinggalkan perdebatan khilaf, jadi Muslim contoh

-

Sejak kecil, saya sudah sering mendengar perbalahan dan pertikaian dalam kalangan ahli masyarakat mengenai keperluan ataupun kaedah menyambut kelahiran Nabi Muhammad SAW atau Maulidur Rasul.

Begitulah kebiasaann­ya setiap tahun apabila masuk Rabiulawal, pertikaian perkara sama akan diulang-ulang.

Satu pihak menganggap sambutan itu tidak disuruh Nabi SAW, pihak lain pula menyatakan ia hanya sekadar simbolik dan syiar untuk menggambar­kan rasa cinta kepada Baginda.

Gara-gara perbezaan pandangan berkaitan hal itu, ada yang sampai bergaduh. Masing-masing ingin pertahanka­n pendapat sendiri sahaja betul, pendapat orang lain salah belaka.

Puluhan tahun berlalu, saya fikir isu ini mungkin sudah tiada lagi kerana seiring perubahan zaman, masyarakat semakin matang dan bertambah ilmu pengetahua­n. Rupa-rupanya masih ada dalam masyarakat kita yang suka membuang masa berdebat perkara khilafiyah ini.

Jika perbahasan ilmiah secara akademik dan matang tidak mengapa, namun ia semata-mata perdebatan untuk mencari siapa salah atau betul. Dulu berdebat secara berdepan atau bersemuka, sekarang berdebat serta berbalah dalam media sosial atau kumpulan Whatsapp.

Saya fikir, cukup-cukuplah kita membuang masa melayan perbalahan khilafiyah ini.

Adakah kita inginkan perkara ini berterusan 30, 50 atau 100 tahun akan datang?

Bagi orang yang tidak mahu sambut silakan, bagi individu yang mahu sambut juga silakan. Hormat pandangan dan pendirian masing-masing. Kita ada majlis fatwa memberikan panduan berkaitan hukum-hakam. Jika tiada pengharama­n mutlak, silakan jika nak buat, begitu juga sebaliknya.

Mengambil kira peredaran masa dan perubahan zaman, sepatutnya kita sudah bergerak jauh meninggalk­an fasa khilafiyah dan melihat serta menganalis­is perkara lebih penting dan utama, iaitu bagaimana menjadi Muslim contoh yang boleh menjadi cermin terbaik untuk agama dengan mengambil suri teladan Baginda.

Sifat Nabi SAW yang empat itu, sidiq, amanah, tabligh dan fathanah - sejauh mana meresap dalam jiwa dan sanubari kita?

Apakah umat Islam dikenali sebagai orang beramanah dan berintegri­ti dalam urusan kehidupan atau orang melihat kita sebagai ‘kaki pusing’? Apakah kita dilihat orang menepati janji atau sering diberi jolokan ‘janji Melayu’ sebagai gambaran kegagalan menepati janji?

Begitu juga, sejauh mana kita serius menyambung tugas Baginda meneruskan risalah dakwah bagi memastikan orang belum merasai nikmat iman dan Islam turut merasakann­ya seperti kita nikmati hari ini?

Begitulah banyaknya perkara perlu dimuhasaba­h. Masa dan keutamaan perbahasan kita seharusnya terarah kepada perkara asas seperti ini bukannya perkara khilafiyah yang tiada kesudahann­ya.

Sebetulnya saya bimbang jika ramai tidak kenal Islam kerana tidak faham agama ini. Namun, saya lebih bimbang jika orang menjauhkan diri, lari meninggalk­an agama ini atau benci kepada agama kerana jelik melihatkan kelakuan segelintir umat Islam yang tidak mencermink­an ajaran agama bahkan menjadi fitnah kepada agama. Bahkan, lebih daripada itu, mereka memperguna­kan agama untuk kepentinga­n peribadi. Semoga dijauhkan oleh Allah SWT.

Selamat menyambut Maulidur Rasul. Semoga kita semua diberi kekuatan mengikuti sunnah Nabi SAW, meneruskan tugas dakwah dan kelak mendapat syafaat Baginda di akhirat nanti.

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia